KUALA PILAH – Pesara guru, Hassan Ab. Hamid yang berusia 67 tahun dizahirkan sebagai Dato’ Sedia Raja, Undang Luak Rembau ke-22 dalam Istiadat Mengadap Duli Yang Maha Mulia, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di sini, petang tadi.
Tuanku Muhriz berkenan menerima rombongan pembesar adat itu dalam majlis penuh istiadat bermula pukul 2.45 petang tadi.
Tuanku Muhriz dalam titah baginda menegaskan, pelantikan berkenaan merupakan satu amanah besar yang lahir daripada pemuafakatan adat.
“Ia hendaklah dipikul dengan penuh keikhlasan, kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab demi memelihara keluhuran adat serta kesejahteraan rakyat di Luak Rembau. Sebarang perselisihan atau permasalahan hendaklah ditangani dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan semangat muafakat,” titah baginda.
Untuk rekod, pemilihan Undang Luak Rembau itu adalah bagi menggantikan penyandangnya, Muhamad Sharip Othman, 83, yang meninggal dunia akibat sakit tua pada 15 Mei tahun lalu.
Hassan dilahirkan pada 11 Januari 1959 di Rembau, Negeri Sembilan dan mewarisi keturunan suku Biduanda, Sedia Raja Kampung Tanjung.
Beliau menyandang Pesaka Dato’ Perba pada 2024 dan pernah menyandang Pesaka Buapak Kampung Tanjung dengan gelaran Dato’ Kaya Maharaja sejak dari 1998.
Beliau juga menerima Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri iaitu Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada 2004 dan merupakan mantan guru yang telah menamatkan khidmat pada 2017 sebagai Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Astana Raja. – KOSMO! ONLINE














