KUALA LANGAT – Suasana sebuah stesen minyak di Jalan Klang-Banting, Jenjarom di sini gempar dengan adegan dua lelaki bersenjatakan parang dan objek menyerupai sepucuk pistol menyamun premis itu, semalam.
Dalam kejadian tersebut, salah seorang suspek juga sempat mengacukan pistolnya ke arah dua pelanggan yang berada di kawasan kaunter.
Pelanggan terbabit bagaimanapun sempat beredar dalam keadaan selamat apabila suspek lebih memfokuskan kepada aksi jenayah tersebut.
Insiden berkenaan turut tular menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 57 saat yang memaparkan kejadian samun terbabit dengan jelas.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 10.18 malam memaklumkan kejadian itu.
“Suspek melarikan wang kira-kira RM798 serta beberapa kotak rokok sebelum melarikan diri menaiki kereta,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222. – KOSMO! ONLINE














