PETALING JAYA – IJM Corporation Berhad (IJM Corp) memberi jaminan akan berusaha sedaya upaya mengurangkan kesesakan trafik sepanjang pelaksanaan projek sambungan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) 2 bagi meminimumkan gangguan kepada pengguna jalan raya.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Datuk Lee Chun Fai berkata, keadaan jalan yang sempit serta kekurangan bahu jalan dijangka menimbulkan sedikit kesukaran apabila kerja-kerja pembinaan memasuki fasa kemuncak.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan mengambil pelbagai langkah bagi mengurangkan impak kepada pengguna jalan raya sepanjang tempoh pembinaan.
“Kami akan mencuba sedaya upaya untuk mengurangkan kesukaran itu kerana projek ini akhirnya akan memberi manfaat besar kepada orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas acara larian IJM Allianz Duo Highway Challenge 2026 di sini hari ini.
Menurut beliau, projek NPE 2 dijangka mampu memendekkan tempoh perjalanan dari Pantai Dalam ke pusat bandar Kuala Lumpur sekurang-kurangnya 15 minit sebaik sahaja siap kelak.
Katanya, kerja-kerja pembinaan telah dimulakan di beberapa seksyen, manakala proses pengambilan tanah masih berjalan.
“Setakat ini, kemajuan fizikal projek mencapai kira-kira sembilan peratus dan pembinaannya dijangka siap menjelang Oktober 2029,” katanya.
Projek bernilai RM1.7 bilion itu melibatkan pembinaan laluan utama sepanjang 6.4 kilometer (km) dengan keseluruhan jajaran termasuk tanjakan sejauh 15 km yang menghubungkan Plaza Tol Pantai Dalam ke persimpangan Jalan Istana di Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE














