KLANG – Kes kematian anjing yang tular ketika operasi tangkapan anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah di sini, kini disiasat sebagai kes khianat dengan membunuh haiwan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan dijalankan selepas polis mengesahkan rakaman video tular itu yang memaparkan sekumpulan lelaki mengikat dan menarik seekor anjing sambil dirayu seorang wanita untuk melepaskan anjing itu.
Katanya, kejadian berlaku ketika operasi gotong-royong menangkap anjing liar yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bersama penduduk taman pada pukul 10.50 malam, Rabu lalu.
“Selepas kejadian itu, anjing tersebut telah disahkan mati dan telah dihantar ke Ibu Pejabat Jabatan Veterinar Selangor bagi tujuan bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan membunuh haiwan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Jit Huey turut menasihatkan orang awam supaya tidak menularkan video yang memaparkan kejadian itu di media sosial agar tidak mendatangkan kegusaran kepada masyarakat setempat.
Kosmo! semalam melaporkan operasi menangkap anjing liar oleh MBDK bertukar kecoh apabila seorang individu didakwa bertindak agresif dengan mengugut menggunakan pisau serta menghalang anggota penguat kuasa menjalankan tugas di Jalan Sama Gagah 20, di sini semalam.
Operasi hampir empat jam bermula pukul 8.30 malam itu dilaksanakan susulan aduan rasmi penduduk berhubung gangguan keselamatan akibat kebanjiran anjing liar di kawasan berkenaan.
MBDK dalam kenyataanya memaklumkan seorang individu bertindak agresif dengan cuba memotong tali ‘loop’ menggunakan sebilah pisau, selain mengugut akan mencederakan diri sendiri sekiranya haiwan berkenaan tidak dilepaskan.
Menurut MBDK, tindakan tarik-menarik dan kekecohan yang berlaku menyukarkan anggota penguat kuasa melonggarkan serta melepaskan peralatan tangkapan demi keselamatan haiwan itu sehingga menyebabkan anjing tersebut mati.
Insiden itu turut mencetuskan perhatian memandangkan Taman Teluk Gedung Indah sebelum ini berdepan isu kebanjiran anjing liar sehingga mengakibatkan seorang pemuda koma lebih seminggu selepas motosikal ditungganginya terbabas ketika dikejar sekumpulan haiwan tersebut pada 13 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE














