KUALA LUMPUR – Seramai 500 anggota polis ditugaskan bagi menjaga keselamatan dan kelancaran Rain Rave Water Music Festival 2026 yang berlangsung di ibu negara malam ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kekuatan anggota itu melibatkan bantuan dari Bukit Aman dan semua daerah di Kuala Lumpur.
“Setakat ini kehadiran pengunjung dianggarkan 7,000 orang dan kita menjangkakan jumlah itu meningkat melebihi 10,000 orang menjelang tengah malam,” katanya ketika melakukan tinjauan di lokasi acara malam ini.
Menurut beliau, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi notis penutupan jalan dan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelak kesesakan.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan pengunjung agar menjaga keselamatan diri dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti menyalahi undang-undang termasuk penyalahgunaan dadah atau perlakuan tidak bermoral.
“Kita mahu program ini berjalan lancar dan terkawal, jadi kerjasama semua pihak amat penting,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, ibu negara bakal bertukar menjadi pesta air gergasi menerusi acara Rain Rave Water Music Festival 2026 yang menghimpunkan artis tempatan dan antarabangsa di Bukit Bintang hari ini.
Acara yang menggabungkan elemen air, visual memukau dan muzik bertenaga tinggi itu dijangka menjadi antara tarikan hiburan paling ‘panas’ di ibu negara, sekali gus menawarkan pengalaman luar biasa buat pengunjung. – KOSMO! ONLINE














