fbpx
Mohd Hazimin (tiga dari kanan) menunjukkan aksesori telefon tiruan yang dirampas di Stor Ekshibit Krubong, Melaka, hari ini. Foto oleh AMRAN ALI/KOSMO!

Konon ‘buatan California’, sindiket aksesori iPhone kaut RM1 juta setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Taktik licik sindiket menjual aksesori telefon tiruan menggunakan jenama iPhone kononnya buatan California, Amerika Syarikat, bagi mengaut jualan lebih RM1 juta setahun akhirnya tumpas dalam serbuan Ops Jenama, semalam.

Serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka bersama wakil pemilik cap dagangan di sebuah gudang di Taman Teknologi Cheng, di sini.

Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd. Hazimin Jamaludin berkata, dalam serbuan tersebut sebanyak 31,279 unit aksesori termasuk sarung telefon, fon telinga, AirPods, kabel pengecas dan kotak telefon dirampas.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM132,086 dan hasil tersebut merupakan antara kejayaan terbesar KPDN Melaka dalam tempoh 10 tahun membabitkan kes barangan tiruan.

“Kesemua barang telah dipasarkan secara meluas melalui platform e-dagang dan media sosial selain turut diedarkan kepada beberapa ejen dan rangkaian perniagaan tertentu dengan harga tiga kali  ganda lebih murah. Kita percaya sindiket ini telah beroperasi sejak tiga tahun lalu dengan menjana jualan mencecah lebih RM1 juta setahun,” ujarnya pada sidang akhbar di Stor Ekshibit Krubong, di sini, hari ini.

“Barangan tersebut dipercayai diimport sebelum dibungkus semula di gudang berkenaan bagi menyerupai produk tulen dan beberapa produk turut menggunakan label kononnya produk berkenaan dibuat di California bagi mengaburi pengguna. “Kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang dipercayai pengurus gudang berkenaan bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Katanya, suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 kerana memiliki barangan menggunakan cap dagangan palsu untuk tujuan perdagangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN