SEBERANG PERAI – Sebuah syarikat pemborong minyak diesel didenda RM130,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, hari ini atas empat pertuduhan mengemukakan maklumat palsu dan enggan mengemukakan dokumen diperlukan berhubung pembelian diesel, tiga tahun lalu.
Pengarah syarikat berkenaan, Lai Yong Keong, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Mengikut pertuduhan pertama, Syarikat Profusion Petroleum San Bhd selaku pemegang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel didapati dalam pengetahuan telah memberikan maklumat palsu dalam borang Arahan Mengemukakan Maklumat berhubung sembilan invois atau resit pembelian minyak diesel.
Kesalahan itu dilakukannya pada 18 Februari 2023 pada pukul 10.30 pagi di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Tingkat 2, Kompleks Sempilai Jaya.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta yang sama.
Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, syarikat didakwa enggan mengemukakan maklumat berkaitan dokumen iaitu penyata kewangan bank di bawah sebuah syarikat pembekalan minyak seperti yang diminta Pegawai Bekalan melalui borang Arahan Mengemukakan Maklumat Barang Kawalan Di Bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961, antara 18 Februari hingga 10 Mac 2023 di lokasi yang sama.
Bagi kesemua kesalahan itu, syarikat didakwa di bawah Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2 juta bagi badan korporat, manakala tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan kali kedua, jika sabit kesalahan.-KOSMO! ONLINE














