fbpx
SUSPEK kes pukul isteri direman di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN

[VIDEO] Suami pukul isteri hingga keguguran direman 7 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan seorang lelaki yang dipercayai memukul isterinya sehingga parah dan keguguran di Ambangan Heights, di sini minggu lalu direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman ke atas suspek berusia 43 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohamad Azlan Basri bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap dan berpelitup muka tiba di mahkamah pada pukul 8.30 pagi. Beberapa ahli keluarga mangsa turut berada di pekarangan mahkamah.

Kosmo! semalam melaporkan seorang lelaki yang dikehendaki berhubung kes memukul isterinya sehingga keguguran di Ambangan Heights pada Khamis lalu akhirnya diberkas di Alor Setar petang semalam.

Sebelum ini, keluarga mangsa menyifatkan lelaki tersebut sebagai suami yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Mereka turut berharap suspek segera ditangkap dan diadili mengikut proses undang-undang.

Selain mangsa penjawat awam berusia 39 tahun, lelaki tersebut turut berdepan prosiding mahkamah bagi kes mencederakan bekas isterinya di Johor beberapa tahun lalu.

Dalam kejadian terbaharu, mangsa dipercayai dipukul dengan penyangkut baju, getah paip, batang besi langsir dan batang penyapu hingga patah.

Selain itu suspek turut didakwa melarikan barang kemas dan wang simpanan berjumlah RM50,000.

Pasangan tersebut dikatakan berkahwin di Thailand pada Disember tahun lalu, namun belum mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN