JAKARTA – Seorang wanita di Sambas, wilayah Kalimantan Barat tampil membuat permohonan maaf selepas mengaku menghasilkan kandungan palsu yang didakwa penampakan hantu penanggal di sebuah kampung baru-baru ini, lapor laman berita Inside Pontianak.
Wanita yang hanya dikenali sebagai N itu meminta maaf secara terbuka dan mengaku menyunting gambar menggunakan komputer.
Katanya, penampakan hantu penanggal yang dimuat naik pada 21 April lalu hanyalah disunting.
“Hantaran itu direka-reka. Saya mengakui kesilapan saya dan menyesali kekecohan yang ditimbulkan,” katanya.
Ketua Perhubungan Awam Polis Sambas, Asisten Komisioner Sadoko berkata, laporan tentang penampakan hantu penanggal yang didakwa mengganggu penduduk Kampung Kartiasa hanyalah berita palsu.
Ujarnya, pelaku yang menggunakan akaun Facebook bernama Intan Junid, telah mengaku atas perbuatannya.
“Pelaku yang dikenal pasti sebagai N, telah datang ke Balai Polis Sambas dan membuat penjelasan secara terbuka serta memohon maaf melalui video,” katanya.
Fenomena penyebaran video palsu yang menggambarkan hantu penanggal di Sambas sebelum ini menjadi topik hangat dan menimbulkan persoalan yang ketara dalam kalangan netizen, malah membuatkan segelintir penduduk berasa resah.
Bagi menenangkan keadaan dan meredakan kebimbangan penduduk, pihak berkuasa kampung telah mengambil tindakan pantas dengan menyiasat fakta tersebut secara terbuka. – AGENSI














