PETALING JAYA – Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza kini menunjukkan perkembangan positif apabila lebih 100 buah kapal dilaporkan menyertai pelayaran bagi menembusi sekatan haram di wilayah Palestin itu.
Delegasi Malaysia, Zainal Rashid Ahmad (ZRA) berkata, armada berkenaan yang kini bergerak dari pelabuhan di Itali dan Sepanyol dijangka memulakan fasa penting pelayaran dalam tempoh empat hari lagi dengan membawa bantuan ubat-ubatan serta keperluan asas terus ke perairan Gaza.
Katanya, terdapat harapan tinggi untuk misi kali ini berjaya menerusi rundingan akhir, termasuk membenarkan 10 hingga 15 buah kapal GSF memasuki Gaza bagi tujuan penghantaran bantuan secara terus.
“Kapal-kapal lain akan memindahkan semua bantuan yang ada kerana untuk belayar di bawah bantuan kemanusiaan, kita (perlu) memenuhi satu prosedur mestilah membawa jumlah bantuan minimum tetapi memenuhi syarat bahawa kapal tersebut adalah kapal kemanusiaan.
“Jadi 100 kapal yang ada, bantuan-bantaun di bawa akan kami pindahkan ke kapal-kapal yang dibenar masuk dan berlabuh di perairan Gaza dan kemudian memindahkannya kepada bot-bot nelayan kecil yang telah kita atur dengan pihak Gaza untuk menerima bantuan tersebut,” katanya menerusi siaran langsung di TikTok, semalam.
ZRA berkata, kapal-kapal yang dibenarkan masuk tersebut akan menjadi satu pembuka kepada agenda yang lebih besar iaitu laluan yang digunakan akan dijadikan satu laluan kekal untuk bantuan kemanusiaan melalui jalan air.
“Ini akan membolehkan semua kapal-kapal besar selepas ini datang dengan bantuan kemanusiaan yang lebih besar yang boleh membawa 20 hingga 25 tan makanan per (setiap) kali laluan dan akan diurus oleh PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) melalui Program Makanan Sedunia,” katanya.
Dalam masa sama, ZRA memaklumkan kru kapal sedang menjalani latihan intensif anti-drone sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan ancaman atau provokasi sepanjang pelayaran.
Katanya, langkah keselamatan itu turut merangkumi usaha mengesan dan mengelakkan taktik sabotaj seperti penggunaan bom pegun (stun grenade) yang berpotensi menjejaskan sistem kapal.
Terdahulu, GSF dalam kenyataan memaklumkan lebih 60 kapal dari Itali dan Sepanyol yang berlabuh di Pelabuhan Augusta, Itali telah mula belayar ke Gaza pada Ahad lalu dalam misi memecahkan sekatan ke atas wilayah Palestin.
Selain itu, lebih 40 kapal lain dijadualkan bakal bertolak dari Greece serta Turki dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE














