MELAKA – “Saya baru bagi dia makan selepas pulang dari kokurikulum, tak tahu nak cakap macam mana (insiden lemas berlaku).”
Demikian kata Hartini Suparto, 73, nenek kepada Muhammad Loqman Afandy, 12, yang lemas selepas terjatuh ke dalam longkang sebelum dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Taman Ayer Keroh Heights di sini pada pukul 5.50 petang semalam.
Katanya, pada pukul 3.30 petang sebelum kejadian, dia mengambil cucunya pulang daripada aktiviti kokurikulum sebelum memberi makan kepada kanak-kanak tersebut.
“Selepas makan dia (mangsa) keluar bermain. Tak lama kemudian pihak polis datang beritahu dia lemas. Saya terkejut, tak tahu macam mana ia boleh berlaku,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka di sini.
Muhammad Loqman ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh anggota bomba kira-kira enam meter dari lokasi mangsa terjatuh sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka, malam tadi.
Menurut Hartini, dia menjaga Loqman dan adiknya yang berusia 10 tahun sejak kecil selepas ibu bapa mereka berpisah.
“Dia budak yang baik, mendengar kata dan boleh diharap,” ujarnya.
Semalam, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dihanyutkan di hadapan adik dan rakan-rakannya selepas terjatuh ke dalam longkang. – KOSMO! ONLINE














