fbpx
KUMPULAN Evanescence mengesahkan penganjuran konsert mereka di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 28 November nanti.

Terakhir 14 tahun, Evanescence turun KL November ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bukan lagi teka-teki, kumpulan Evanescence memilih Kuala Lumpur sebagai satu-satunya destinasi di Asia Tenggara bagi konsert mega yang dijadualkan pada 28 November depan.

Kembali semula ke Malaysia selepas 14 tahun, band rock dari Amerika Syarikat itu akan mengadakan persembahan eksklusif di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Berita gembira itu dikongsikan vokalisnya, Amy Lee yang mengesahkan khabar kunjungan Evanescence seperti tular dalam media sosial sebagai berita sahih.

“Hai semua, saya ada pengumuman untuk dikongsikan. Kami bakal tampil dalam satu persembahan yang sangat istimewa.

“Desas-desus yang bertebaran di laman sosial adalah benar. Kami akan datang untuk beraksi satu malam sahaja di Kuala Lumpur pada 28 November 2026.

“Kami teruja kerana selepas 14 tahun kami dapat berjumpa anda kembali. Jumpa anda nanti,” katanya menerusi Instagram Evanescenceofficial.

Dianjurkan Hello Universe, sebagai destinasi tunggal persembahan di Asia Tenggara, dijangkakan konsert ini akan turut dibanjiri peminat dari seluruh Asia.

Sementara itu, menerusi kenyataan media, konsert Evanescence bakal memberikan kepuasan maksima kepada penonton yang ingin menikmati persembahan bertaraf dunia.

“Dengan produksi antarabangsa berskala penuh, persembahan di Kuala Lumpur ini bakal menampilkan pengalaman live signature Evanescence.

“Aksi gah mereka adalah gabungan lantunan vokal bertenaga, susunan muzik dinamik serta visual pentas yang imersif.

“Kembalinya Evanescence ke Malaysia bukan sekadar untuk konsert bahkan memenuhi keinginan peminat yang membesar dengan muzik mereka,” kata kenyataan media tersebut.

Evanescence kental dengan identiti gabungan bunyi yang kuat, melodi sarat emosi dalam penghasilan lagu ikonik mereka seperti Bring Me To Life dan My Immortal.

Memikat hati peminat di seluruh dunia selama lebih dua dekad dipimpin vokal unik Lee, kumpulan ini terus unggul menyampaikan persembahan yang bertenaga dan menyentuh emosi merentasi pelbagai generasi.

Menambahkan lagi keterujaan, penerima Anugerah Grammy itu baru melancarkan single yang dijadualkan dilancarkan pada Jun ini.

Sekali gus, konsert di Kuala Lumpur bakal menjadi antara peluang peminat di rantau ini untuk menikmati karya tbaharu mereka selain deretan lagu malar segar yang terus menjadi halwa telinga hingga kini.

Kali terakhir band ini beraksi di Malaysia adalah pada tahun 2012, menjadikan konsert kali ini sebagai peluang menyaksikan mereka secara langsung sekali lagi.

Terdahulu, Hello Universe sebelum ini banyak menganjurkan pelbagai konsert antarabangsa di Malaysia termasuk My Chemical Romance di Kuala Lumpur selama dua malam.

Tiket konsert Evanescence akan mula dijual pada 8 Mei 2026, pukul 10 pagi
menerusi GoLive. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN