KOTA BHARU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud memaklumkan bahawa perkataan ‘keno bbodo’ yang dikeluarkan olehnya semasa berucap selepas menyertai konvoi motosikal ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di sini kelmarin bukan bermaksud memperlekeh tugas polis.
Wan Rohimi berkata, perkataan itu merujuk kepada aspek tipu muslihat apabila peserta konvoi berjaya melalui beberapa laluan sehingga dapat keluar di depan LTSIP.
Beliau mendakwa, rakaman video ucapannya yang tular di media sosial itu juga diambil dari jarak jauh dan bukan dirakam oleh peserta konvoi.
“Ada yang sabotaj dengan mengeluarkannya (video) di dalam sebuah halaman di media sosial untuk melaga-lagakan saya dengan polis.
“Semasa memberi keterangan, saya juga menjelaskan penggunaan perkataan ‘keno bbdo’ itu bukan maksud memperlekehkan pihak polis. Ia hanya tipu muslihat dan peserta konvoi berjaya melalui beberapa laluan sehingga keluar di depan LTSIP,” katanya ditemui pemberita selepas memberi keterangan selama satu jam 45 minit di IPD Kota Bharu di sini hari ini.
Wan Rohimi memberitahu, beliau turut mengakui peserta konvoi berdepan dengan tiga sekatan polis semasa tiba di Jalan Pengkalan Chepa di sini dan semua pihak terlibat dengan program itu memberi kerjasama dengan mengangkat tangan kepada pihak berkuasa.
Katanya, beliau sudah menjawab semua soalan yang dikemukakan oleh pihak polis semasa memberi keterangan dan berterima kasih kepada pegawai penyiasat yang mengendalikan prosiding itu dengan penuh profesional.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, Wan Rohimi mengesahkan beliau dipanggil untuk memberi keterangan berhubung dakwaan memperlekehkan tugas polis.
Terdahulu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan kes tersebut dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan seseorang dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu mengawal penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Katanya, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana kelakuan yang menghina atau tingkah laku tidak sopan di tempat awam. – KOSMO! ONLINE














