fbpx
MUZIUM Apple telah dibuka secara rasmi di Utrecht, Belanda baru-baru ini.

Muzium Apple mula dibuka, garaj Steve Jobs tarikan utama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEMBUKAAN Muzium Apple di Utrecht, Belanda bukan sekadar meraikan sejarah sebuah syarikat teknologi terkemuka dunia. Sebaliknya, ia menghidupkan semula naratif ikonik yang dikaitkan dengan permulaan empayar Apple iaitu garaj milik Steve Jobs.

Penciptaan semula ruang sederhana itu menjadi antara tarikan utama dalam Muzium Apple yang dibuka sempena ulang tahun ke-50 penubuhan syarikat Apple Inc. baru-baru ini.

Melalui pendekatan imersif, muzium itu membawa pengunjung kembali ke era awal inovasi komputer peribadi yang bermula daripada ruang kecil tetapi penuh dengan cita-cita besar.

Menurut Pengasas Muzium Apple Utrecht, Ed Bindels, garaj tersebut sering dianggap sebagai tempat kelahiran Apple.

“Menurut rakan pengasas Apple, Steve Wozniak, banyak kerja awal sebenarnya dilakukan di bilik tidur rumah keluarga Jobs.

“Namun begitu, mitos garaj ini tetap signifikan dalam membentuk identiti dan naratif jenama Apple,” katanya dalam satu temu bual dalam majalah Smithsonian.

Ruang yang memaparkan gambar Jobs (kanan) dan Wozniak.

Justeru itu, pihaknya menjadikan replika garaj tersebut sebagai titik permulaan pengalaman pelawat kerana melambangkan semangat keusahawanan, kreativiti dan keberanian mencuba sesuatu yang baharu.

Reka bentuk semula garaj tersebut bukan sekadar elemen visual, malah turut disusun dengan teliti bagi mencerminkan suasana sebenar era 1970-an.

Ia menggambarkan keadaan asas, di mana dua anak muda membina komputer pertama mereka dengan sumber terhad.

Pengunjung yang melangkah masuk ke ruang itu dapat merasai sendiri suasana permulaan Apple daripada peralatan elektronik sederhana sehingga ke susun atur ruang kerja ringkas.

Pendekatan itu bertujuan memberi pemahaman mendalam tentang bagaimana inovasi besar boleh bermula dari persekitaran sederhana.

Bindels turut memberitahu, penciptaan semula garaj itu berfungsi sebagai naratif pengenalan kepada keseluruhan perjalanan Apple.

“Selepas melalui ruang tersebut, pengunjung akan dibawa menyusuri evolusi produk Apple, bermula daripada komputer pertama, Apple I sehinggalah peranti moden seperti iPhone.

“Muzium ini menempatkan ribuan koleksi berkaitan Apple, walaupun hanya sebahagian kecil dipamerkan bagi memastikan setiap objek dapat menyampaikan cerita yang jelas dan tersusun,” ujarnya.

Katanya lagi, muzium itu direka bukan untuk menonjolkan produk semata-mata, sebaliknya menceritakan kisah di sebalik penciptaan teknologi tersebut.

Replika garaj menjadi simbol kepada permulaan perjalanan yang penuh cabaran daripada sebuah projek kecil kepada syarikat global yang mengubah cara manusia berinteraksi dengan teknologi.

Ini mengingatkan bahawa kejayaan Apple tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya melalui proses panjang yang melibatkan eksperimen, kegagalan dan inovasi berterusan.

Sejarah Apple Inc. bermula pada tahun 1976 apabila Jobs, Wozniak dan Ronald Wayne menubuhkan syarikat tersebut di California, Amerika Syarikat.

PENGUNJUNG boleh melihat evolusi pelbagai produk keluaran Apple di sudut ini.

Produk pertama mereka ialah Apple I yang merupakan sebuah papan litar komputer yang dijual kepada penggemar teknologi.

Walaupun ringkas, namun ia menjadi titik permulaan kepada revolusi komputer peribadi.

Kejayaan sebenar Apple mula terserlah dengan pelancaran Apple II pada tahun 1977. Komputer itu antara yang pertama dipasarkan secara meluas kepada pengguna umum di rumah dan sekolah.

Namun, perjalanan Apple tidak sentiasa lancar. Pada tahun 1984, jenama tersebut melancarkan Macintosh dengan memperkenalkan antara muka grafik (GUI) dan penggunaan tetikus iaitu satu inovasi besar ketika itu.

Walaupun Macintosh mencipta sejarah, namun konflik dalaman menyebabkan Jobs meninggalkan Apple pada tahun 1985.

Tanpa kepimpinan beliau, Apple menghadapi tempoh sukar dengan penurunan jualan dan arah tuju tidak jelas.

Bagaimanapun, keadaan mula berubah apabila Jobs kembali ke Apple pada tahun 1997. Kepulangannya menandakan titik kebangkitan semula syarikat tersebut.

Di bawah kepimpinan Jobs, Apple melancarkan beberapa produk ikonik yang mengubah industri teknologi dan hiburan, termasuk iMac, iPod dan iPhone pada tahun 2007.

IPhone menjadi pencetus revolusi telefon pintar moden dengan menggabungkan fungsi komunikasi, hiburan dan internet dalam satu peranti.

Selepas pemergian Steve Jobs pada tahun 2011, kepimpinan Apple diteruskan oleh Tim Cook.

Di bawah Cook, Apple terus berkembang sebagai salah sebuah syarikat paling bernilai di dunia, dengan penekanan terhadap inovasi, privasi pengguna dan kelestarian.

Produk seperti Apple Watch dan perkhidmatan digital seperti Apple Music serta Apple TV+ menunjukkan evolusi Apple daripada pengeluar komputer kepada ekosistem teknologi yang menyeluruh.

Kongsi Bindels, sejarah Apple mencerminkan perjalanan luar biasa daripada sebuah syarikat kecil yang bermula di garaj kepada gergasi teknologi global.

Kisah berkenaan bukan sahaja tentang kejayaan komersial, tetapi tentang keberanian mencabar norma dan mencipta masa depan baharu melalui inovasi berterusan.

“Dengan menggabungkan elemen sejarah, teknologi dan pengalaman interaktif, Muzium Apple ini berjaya menghidupkan kembali detik-detik awal yang membentuk salah satu syarikat paling berpengaruh di dunia.

“Di tengah-tengah segala kemajuan itu, sebuah garaj sederhana kekal sebagai simbol permulaan kepada revolusi digital global,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN