SUNGAI PETANI – Polis sedang giat mengesan seorang lelaki yang didakwa memukul isterinya yang hamil sehingga keguguran dan cedera dalam kejadian di rumah mereka di Ambangan Heights, di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, suspek telah melarikan diri dan dipercayai sudah keluar dari daerah Kuala Muda.
“Siasatan sedang dijalankan dan belum ada sebarang tangkapan kerana dipercayai dia sudah melarikan diri.
“Kita telah menggerakkan anggota untuk menjejakinya bagi melengkapkan siasatan kes tersebut,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan keluarga kepada mangsa yang merupakan kakitangan awam menyifatkan pelaku sebagai seorang yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Abang mangsa, 45, turut berharap suspek berusia 43 tahun yang dipercayai masih bebas dapat segera ditangkap dan diadili mengikut proses undang-undang.
Dakwanya, selain adiknya yang berusia 39 tahun, suspek juga dipercayai sedang berdepan proses mahkamah berkaitan kes mencederakan bekas isteri.
Mangsa didakwa dipukul menggunakan penyangkut baju, getah paip, batang besi langsir dan batang penyapu hingga patah.
Suspek turut dipercayai melarikan barang kemas dan wang simpanan berjumlah RM50,000 selepas kejadian itu.
Pasangan terbabit dikatakan berkahwin di Thailand pada Disember tahun lalu, namun belum mendaftarkan perkahwinan mereka di sini. – KOSMO! ONLINE














