KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu hantaran gambar berunsur penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dimuat naik menerusi akaun Facebook Huayan The Pureland Learning Centre pada Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya telah mengenal pasti pemilik atau pentadbir akaun berkenaan dan siasatan lanjut sedang giat dijalankan.
Menurutnya, tindakan turut diambil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) JSJ Bukit Aman dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia termasuk merampas peranti yang dipercayai digunakan untuk membuat hantaran tersebut.
“Setakat ini, sebanyak 21 laporan polis telah diterima dari seluruh negara berkaitan isu sama dan seramai 21 saksi termasuk individu membuat laporan telah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurutnya, polis memberi amaran bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan media sosial bagi tujuan yang menyalahi undang-undang termasuk menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja).
Tambah beliau, kebebasan bersuara seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mempunyai had tertentu.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau kandungan di ruang awam mahupun media sosial,” katanya. – KOSMO! ONLINE














