PETALING JAYA – Lapan negeri dijangka berdepan cuaca buruk melibatkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang hingga pukul 7 malam ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, amaran ribut petir itu melibatkan Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor selain beberapa bahagian di Sarawak dan Sabah.
Menurut MetMalaysia, antara kawasan terjejas di Kelantan ialah Pasir Mas dan Tanah Merah, manakala di Pahang melibatkan Jerantut serta Maran.
“Bagi Selangor, kawasan Kuala Selangor dan Sepang dijangka mengalami cuaca buruk, sementara keseluruhan Negeri Sembilan dan Melaka turut terlibat.
“Di Johor pula, kawasan terjejas termasuk Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian dan Kulai,” lapor MetMalaysia, sebentar tadi.
Tambah kenyataan itu, di Sarawak cuaca sama dijangka berlaku di beberapa bahagian termasuk Kuching (Bau dan Lundu), Sri Aman (Lubok Antu), Sarikei (Pakan, Julau dan Meradong), Sibu, Mukah (Daro, Matu dan Dalat) serta Limbang.
Sementara itu di Sabah, kawasan Pedalaman melibatkan Sipitang, Tenom, Beaufort, Nabawan dan Keningau, selain Pantai Barat (Papar), Tawau (Tawau, Semporna dan Lahad Datu) serta Sandakan (Tongod dan Kinabatangan). – KOSMO! ONLINE













