DUNGUN – Seorang lelaki diburu kerana disyaki giat melakukan gangguan seksual termasuk menunjukkan kemaluannya kepada remaja perempuan dan wanita di daerah ini, sejak bulan lalu.
Dalam kejadian terbaru pada pukul 12.30 tengah hari kelmarin, suspek yang dikatakan menunggang motosikal Yamaha Y15ZR melakukan perbuatan sama terhadap sekumpulan pelajar di pintu masuk sebuah universiti awam disini.
Aksi lelaki memakai baju ‘coverall’ tersebut yang memberhentikan motosikalnya di tepi jalan sambil memegang dan menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita berada di seberang jalan sempat dirakam sebelum klip videonya tular di media sosial.
Penularan klip video berdurasi 12 saat tersebut kemudiannya mendorong lebih ramai wanita dan remaja perempuan yang pernah mangsa perbuatan tidak senonoh suspek membuka mulut.
Seorang wanita berusia 30 tahun mendakwa, anak saudara perempuannya berusia 13 tahun turut terkena gangguan seksual lelaki sama sewaktu dalam perjalanan ke tempat mengaji di Taman Rakyat, di sini pada 9 Mac lalu.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintenden Jumaidy Bah Chong Weh mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian gangguan seksual yang berlaku berhampiran universiti awam tersebut kelmarin.
“Usaha untuk mengesan saksi serta individu terlibat sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














