fbpx
MPV GWM WEY G9 Hi4 PHEV memancarkan aura kemewahan dengan pendekatan reka bentuk berbeza daripada MPV tradisional.

GWM WEY G9 Hi4 bukan pesaing tapi pencabar serius

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM dunia automotif Malaysia, segmen kenderaan pelbagai guna (MPV) premium sudah lama didominasi oleh jenama besar dari Jepun.

Namun, kemunculan GWM WEY G9 Hi4 sebagai MPV mewah dengan sistem plug-in hibrid elektrik (PHEV) pertama dari China telah membawa satu perubahan kerana hadir bukan sekadar pesaing tetapi pencabar serius dalam revolusi automotif.

Selepas mencuri perhatian sejak tahun lalu, akhirnya Great Wall Motors (GWM) Malaysia telah melancarkan WEY G9 pada akhir Januari lalu pada harga RM269,800 atas jalan raya tanpa insurans sebagai model yang dipasang secara tempatan (CKD) di Melaka.

Untuk makluman, WEY adalah sub jenama premium kepada GWM. Nama itu diambil daripada pengasasnya, Jack Wey dan menjadi manifestasi MPV mewah dengan teknologi masa depan.

Dari saat pertama kali melihatnya, WEY G9 sudah memancarkan aura kemewahan dengan pendekatan reka bentuk berbeza daripada MPV tradisional.

Jentera ini tidak cuba menjadi terlalu futuristik tetapi menampilkan gaya elegan, matang dan eksklusif dengan garis badan yang besar dan tegap.

Bahagian hadapan menampilkan lampu LED yang tajam dengan identiti visual tersendiri digabungkan dengan gril besar jalur menegak, manakala garisan badannya kemas dan bersih tanpa elemen berlebihan mencerminkan kemewahan.

Model ini diperkemas dengan rim aloi 18 inci dua tona sekali gus melengkapkan imej premium, manakala bumbung panaromik belakang menambah elemen eksklusif untuk penumpang.

Dari segi dimensi, WEY G9 dengan konfigurasi tujuh tempat duduk (2-2-3) berukuran 5,050 milimeter (mm) panjang, 1,960mm lebar, 1,900mm tinggi dan jarak roda 3,085mm iaitu lebih panjang daripada Toyota Alpard.

Di sebalik kemewahan, MPV premium PHEV ini dikuasakan oleh enjin petrol 1.5 liter empat silinder berkuasa 150hp dan tork 240Nm.

Apabila digabungkan dengan dua motor elektrik iaitu satu dalam transmisi hibrid empat kelajuan dan satu lagi di gandar belakang menghasilkan kuasa keseluruhan 442hp dan tork maksimum 642Nm.

Hasilnya, MPV pacuan semua roda ini mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam masa hanya 5.7 saat dengan kelajuan maksimum 200km/j.

WEY G9 dikatakan boleh mencapai jarak gerak sehingga 1,000 kilometer (km) mengikut (NEDC) dengan tangki penuh, manakala jarak elektrik sepenuhnya sekitar 170km (NEDC).

Baru-baru ini, penulis bersama rakan media lain telah diberi peluang oleh GWM Malaysia untuk memandu uji WEY G9 dari Kuala Lumpur ke Kuantan, Pahang melalui lebuh raya berbukit, jalan kampung dan jalan bandar.

Ketika sesi pandu uji bermula, perkara pertama dirasai penulis adalah betapa senyapnya MPV ini dalam mod elektrik.

Dalam trafik bandar, WEY G9 bergerak lancar tanpa bunyi enjin, memberikan pengalaman hampir seperti sebuah kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya.

Tempat duduknya boleh didapati dalam warna coklat atau hitam.

Tekanan ringan pada pedal minyak cukup untuk menggerakkan MPV ini dengan pantas walaupun saiznya besar, malah tindak balasnya segera berbanding MPV enjin konvensional.

Apabila dipandu di lebuh raya, karakter WEY G9 berubah, malah gabungan enjin dan motor elektrik memberikan lonjakan kuasa yang konsisten, menjadikan proses memotong kenderaan lain terasa mudah dan yakin.

Sistem pacuan semua roda (AWD) dengan Intelligent Torque Vectoring Control pada MPV ini pula memastikan cengkaman sentiasa optimum, malah apabila melalui selekoh, badan WEY G9 terasa stabil dan terkawal.

Apa yang menarik, walaupun bersaiz besar, WEY G9 tidak terasa kekok untuk dipandu dengan sterengnya ringan di kelajuan rendah dan semakin stabil apabila kelajuan meningkat.

Dengan pemanduan sederhana, tidak terlalu laju atau perlahan, penulis bersama tiga lagi rakan media yang memandu dalam sebuah MPV WEY G9 berjaya mencapai jarak gerak 530km dengan penggunaan bateri 17km bagi perjalanan sehala.

Dalam pengggunaan harian, kelebihan sistem PHEV benar-benar terserlah dengan jarak mod elektrik sehingga 145km dan kebanyakan perjalanan harian boleh dilakukan tanpa setitik petrol, amat menjimatkan.

Namun, gabungan tangki petrol dan sistem hibrid membolehkan jarak keseluruhan mencecah sekitar 1,000km menjadikan WEY G9 ideal untuk perjalanan jauh.

Penulis paling tertarik dengan suasana kabin WEY G9, sangat mewah bagaikan berada dalam ‘lounge’ premium bergerak.

Sebagai penumpang, boleh dikatakan setiap inci direka dengan keselesaan daripada material lembut hinggalah susun atur ergonomik yang teliti.

Tempat duduk barisan kedua menjadi tumpuan utama, luas, empuk dan dilengkapi dengan fungsi urut 10 titik, ventilasi, pelarasan kuasa serta mod ‘zero gravity’ untuk posisi lebih selesa.

Kerusi dibalut kulit Nappa hitam, dengan pilihan warna coklat juga ditawarkan serta paling menarik peti sejuk 12.5 liter yang boleh diakses dari hadapan dan belakang.

Kesimpulannya, dari segi praktikaliti, WEY G9 menawarkan keseimbangan antara kemewahan dan teknoligi yang menjadikan setiap perjalanan lebih selesa.

Jika diberi pilihan untuk kereta eksklusif, WEY G9 boleh dimasukkan dalam senarai MPV premium moden terkini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN