PETALING JAYA – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menziarahi Penolong Jurutera RTM, Razif Saidin di kediamannya sempena lawatan kerja ke Pulau Pinang, sekali gus menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@Hawana.
Menurut beliau, Razif kini mengalami komplikasi saraf kronik akibat kemalangan motosikal pada tahun 2023 dan perlu menjalani rawatan fisioterapi serta mengambil ubat secara berterusan.
“Alhamdulillah, Tabung Kasih@Hawana yang diperkenalkan sejak April 2023 telah memanfaatkan seramai 727 pengamal media di seluruh negara setakat ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Sementara itu, Fahmi turut mengumumkan Pulau Pinang sebagai tuan rumah sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2026 yang dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
Menurutnya, Hawana 2026 yang dijadual berlangsung pada 20 Jun itu bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – KOSMO! ONLINE














