fbpx
AKSI trio wanita negara di Piala Dunia Trek UCI di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.

Piala Dunia Trek: Masalah kesihatan gugat kayuhan trio pecut wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NILAI – Langkah skuad berpasukan wanita negara untuk memburu tempat ke pentas podium pada kejohanan Piala Trek Dunia UCI di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, tidak kesampaian apabila tersingkir di pusingan pertama hari ini.

Trio wanita negara yang dibarisi Anis Amira Rosidi, Nurul Izzah Izzati Asri dan Nur Alyssa Farid memperagakan aksi cukup baik pada sesi kelayakan pada sebelah pagi, namun aksi terbaik itu gagal diterjemahkan dengan baik selepas tunduk kepada pasukan Poland, Marlena Karwacka, Nikola Seremak, Nikola Sibiak.

Skuad negara menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 48.297 saat (s), manakala Poland mencatat masa lebih pantas, 47.673s untuk melangkah ke pentas final bagi penentuan pingat gangsa.

Pelumba kelahiran Perlis, Anis menjelaskan, meskipun tidak berjaya melangkah ke pusingan seterusnya, pasukannya tetap berpuas hati kerana masih mampu mengekalkan momentum kompetitif dan mencatatkan masa yang hampir dengan rekod kebangsaan (48.086 saat) yang dilakukan di Filipina, bulan lalu.

“Saya tidak boleh katakan kami kecewa kerana kami hampir menyamai rekod kebangsaan. Pada masa sama, saya baru pulih daripada demam dan Izzah juga kurang sihat ketika ini, jadi untuk kami masih mampu mencatat masa yang baik sebenarnya satu perkara positif,” kata Anis selepas perlumbaan.

Mengulas mengenai perancangan seterusnya, Anis menjelaskan skuad negara akan terus memperkemaskan prestasi menjelang dua temasya utama iaitu Sukan Komanwel Glasgow (23 Julai hingga 2 Ogos) dan Sukan Asia Aichi-Nagoya (19 September hingga 4 Oktober).

“Fokus utama kami sudah tentu Sukan Asia dan Sukan Komanwel, jadi ketika ini kami sedang berusaha meningkatkan lagi prestasi, terutama dengan peralihan saya dari posisi ketiga ke posisi pertama yang memerlukan kekuatan serta kuasa pecutan lebih tinggi,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN