KANGAR – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan yang dilakukan terhadap penerima sumbangan iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Unit Komunikasi Korporat dan Hubungan Seranta MAIPs dalam satu kenyataan juga memohon kerjasama orang ramai agar memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
“Dalam masa sama menyerahkan perkara ini untuk disiasat secara telus dan terperinci bagi memastikan keadilan serta kebenaran dapat ditegakkan.
“MAIPs komited untuk membantu apa jua proses diperlukan oleh pihak berkuasa dalam melengkapkan siasatan tersebut,” katanya.
Menurut kenyataan itu, sebagai institusi yang menjunjung amanah umat, MAIPs akan sentiasa komited mengekalkan peranan sebagai institusi yang utuh dengan mengamalkan tatakelola tertinggi sebagaimana yang sering ditekankan dalam titah Raja Perlis serta Raja Muda Perlis selaku Yang Dipertua MAIPs.
“MAIPs juga komited untuk melaksanakan penambahbaikan berterusan dalam sistem pemantauan dan penyaluran bagi menjamin kelestarian khidmat yang diberikan, sekali gus memastikan setiap sen dana zakat diuruskan dengan penuh integriti,” ujarnya.
Dalam kenyataan sama, pihak tersebut turut merakamkan penghargaan kepada seluruh masyarakat, pembayar zakat dan rakan-rakan strategik yang sentiasa teguh berdiri bersama MAIPs.
“Sokongan dan kepercayaan berterusan anda adalah nadi utama dalam usaha kita bersama-sama memperteguhkan syiar Islam dan memastikan kebajikan asnaf sentiasa terbela di negeri Perlis.
“Kenyataan ini dizahirkan sebagai tanda penghargaan kepada semua penyumbang dan para pemegang taruh yang selama ini menaruh kepercayaan kepada MAIPs dalam setiap tadbir urus,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang timbalan pengerusi sebuah NGO antara tiga individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana disyaki menyeleweng dana zakat. – KOSMO! ONLINE














