DALAM dunia lakonan, Zahiril Adzim bukan lagi satu nama yang perlu diperkenalkan melalui gimik mahupun sensasi murahan.
Sejak kemunculannya, Zahiril meletakkan satu tanda aras tinggi menerusi naskhah-naskhah berat yang sering mencabar emosi dan kewarasan penonton.
Meskipun industri kini dibanjiri dengan wajah baharu, kelibat pemilik nama penuh Muhammad Zahiril Adzim Mohd. Mokhtar itu tetap ampuh dan relevan.
Baginya, setiap tawaran yang datang adalah rezeki yang perlu disambut dengan rasa syukur.
Bercerita mengenai kelangsungan kerjaya, pelakon berusia 42 tahun itu mengakui doa dan sokongan padu daripada isterinya, Shera Aiyob, yang turut bertindak sebagai pengurus, menjadi nadi utama.
“Alhamdulillah saya masih lagi aktif dan nak lebih peluang kalau ada rezeki saya. Tapi takutlah nak cakap banyak.
“Risau tiba-tiba orang cakap riak atau berlagaknya saya. Mungkin juga sebab isteri saya selalu doakan supaya banyak lagi tawaran yang baik datang.
“Dia pun risau juga takut ada datang tawaran yang mungkin tak berapa baik untuk saya tapi selagi boleh dan ada kudrat saya berjuang juga,” katanya membuka bicara.
Setiap tawaran yang masuk akan disaring terlebih dahulu oleh Shera sebelum mereka duduk berbincang, sama ada karakter tersebut mampu memberikan impak atau sekadar memenuhi ruang skrin.
“Ada yang saya memilih dan terpaksa tolak sebab jadual atau jalan cerita. Setiap kali tawaran masuk, akan rujuk Shera sebagai pengurus.
“Selepas itu kami akan berbincang sama ada karakter tersebut kena dengan saya atau tak.
“Isteri bukan seorang yang cerewet, cuma dia sering mengingatkan supaya saya sentiasa berhati-hati dan menjaga diri ketika berada di set penggambaran,” tuturnya.

– IQBAL ROSLI
Tegas pelakon dan pengarah itu, antara watak yang sering ditolak adalah karakter yang dirasakan di luar kemampuannya untuk diterjemahkan dengan baik kepada penonton.
“Antara tawaran yang saya tolak adalah, karakter yang saya tahu saya tak ada kemampuan nak buat.
“Saya tahu kalau saya buat, dia takkan sampai sebab itu awal-awal lagi saya dah tolak.
“Karakter yang terlampau jahat sampai ada keganasan rumah tangga, pukul isteri, saya sendiri tak bersetuju sebab tak sampai hati nak lakukan,” katanya lagi.
Dalam masa sama, pelakon filem Bunohan itu menyifatkan dirinya sebagai seorang yang sangat sensitif terhadap naskhah.
Dia perlu merasai kesakitan atau kegembiraan karakter tersebut terlebih dahulu sebelum perasaan sebegitu dialirkan kepada penonton.
“Saya memang sensitif, setiap naskhah yang saya bawakan memang saya akan rasa dulu.
“Kalau babak menangis, saya nangis dulu. Sebelum bagi penonton rasa, saya sendiri rasa dulu.
“Waktu baca skrip dan pengarah ‘brief’ pun saya dah menangis. Saya tak boleh bila orang bercerita.
“Benda-benda begitu buat kacau otak saya. Tapi sebab kita pelakon, kena melakonkan watak itu saya kena terbuka,” jelasnya.
Selain menolak watak dengan keganasan fizikal keterlaluan, Zahiril lebih selesa menyerahkan watak romantik kepada pelakon muda.
“Saya pernah bawa watak dalam Aku Bukan Ustazah, dia buat perbuatan fizikal dengan isteri dia. Itu saya okey lagi.
“Kalau melebih sangat saya tak buat dan karakter yang terlalu romantik pun saya rasa lebih baik berikan kepada budak-budak muda.
“Mungkin mereka bawakan watak tersebut lagi romantik sebab masih ada aura percintaan itu,” jelasnya.

Keluar watak
Sesuatu yang jarang dikongsi adalah kesan psikologi selepas membawakan sesebuah watak berat.
Pemenang Aktor TV Popular Anugerah Bintang Popular ke-37 itu mendedahkan, dia pernah mengalami kesukaran untuk keluar daripada roh karakter lakonan.
“Ada masa senang, ada masa susah macam terlampau berat contohnya dalam cerita Pekak dengan Sharifah Amani.
“Saya susah nak keluar daripada karakter pekak itu. Saya perlukan masa dua minggu untuk pergi ‘reset’ balik. Saya jalan-jalan dalam pusat membeli-belah seorang diri untuk tengok dunia.
“Sebelum itu, saya beritahu Shera nak pergi ‘reset’ dan dia bagi. Saya mahu berhubung semula dengan dunia normal sebab karakter itu buat saya tak bercampur dengan orang,” tuturnya.
Pengalaman serupa turut dirasakan menerusi drama Aku Pilih Pelangi, apabila dia memegang watak seorang ketua keluarga yang kehilangan penglihatan dan terbayang bagaimana jika nasib yang sama menimpa dirinya.
“Dalam drama Aku Pilih Pelangi pun sama. Karakter itu adalah seorang ‘provider’ tiba-tiba Allah tarik mata dia jadi tak boleh bekerja dan bagi duit kepada bapa, adik perempuan, isteri serta anaknya.
“Itu pun memberi kesan kepada saya sebab saya sendiri seorang ‘provider’.
“Saya suami dan bapa yang mencari duit untuk beri kepada isteri dan anak.
“Jadi saya terbayang kalau tiba-tiba saya buta, macam mana saya nak berlakon, memang beri kesan,” luahnya.

Method
Bercakap tentang ‘method’ (metode) lakonan, Zahiril berpendapat tindakan industri atau peminat melabelkan pelakon dengan satu-satu imej merupakan satu ancaman kepada kreativiti dan kerjaya anak seni.
“Sebenarnya, semua pelakon kena pakai ‘method’ sebab bermaksud cara. Setiap pelakon kena ada cara sendiri.
“Namun, apabila orang label atau meletakkan kategori tertentu seperti pelakon ini hanya untuk watak romantik atau watak ganas, bagi saya itu agak bahaya.
“Apabila sudah ada label, pelakon itu cenderung untuk menjadi stereotaip. Contohnya, jika dia berjaya bawa watak jahat, selepas itu watak jahat sahaja yang dia dapat.
“Sebagai pelakon, itu sangat membahayakan kerjaya. Kita kena tunjuk yang kita ada dinamik, fleksibel, dan boleh memainkan pelbagai karakter,” kongsinya.
Sebagai langkah proaktif, bapa kepada seorang anak lelaki itu sering cuba merancang penjenamaan diri agar tidak terperangkap dalam acuan sama.
“Kita sebagai pelakon kena cuba ‘design’ penjenamaan sendiri dalam industri.
“Kalau saya rasa orang asyik panggil untuk watak hero sedih yang pengakhirannya mati, saya akan berhenti terima tawaran itu buat seketika.
“Saya akan cari karakter lain, mungkin watak jahat yang dibenci orang supaya penonton nampak kepelbagaian dalam lakonan.
“Memang bahaya kalau ada pihak yang melabelkan pelakon dengan satu-satu imej sahaja.
“Ini sebenarnya seperti satu langkah ke belakang buat seorang anak seni,” tutupnya.















