KOTA KINABALU – Polis Sabah memaklumkan tiada sebarang insiden atau gangguan berkaitan isu kenyataan Kaunselor Kedutaan Korea Utara di Malaysia, Kim Yu-Song.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, bagaimanapun pihaknya sentiasa bersiap siaga dan memantau sebarang perkembangan susulan perkara itu ketika ini.
“PDRM juga sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan lain di negeri ini sebagai usaha memastikan keadaan keselamatan masyarakat di Sabah terjamin.
“Ia termasuklah perkongsian maklumat dari semasa ke semasa mengenai keselamatan atau kemungkinan sebarang ancaman susulan isu terbabit.
“Bagaimanapun, keadaan keselamatan di Sabah sekarang masih berada di tahap terbaik dan kita meneruskan tugasan harian seperti biasa dalam menjaga keselamatan di seluruh negeri,” katanya ketika sidang akhbar selepas Sambutan Hari Polis Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Dataran Kawad IPK hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengarahkan semua Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis Negeri dan Pengarah Jabatan PDRM untuk memantau perkembangan semasa isu Korea Utara.
Menurut beliau, PDRM perlu mengambil langkah berwaspada bagi mengelakkan sebarang kemungkinan kejadian yang tidak diingini berlaku di negara ini.
“PDRM sentiasa mengambil pendekatan untuk berhati-hati kerana banyak insiden isu keselamatan yang dikaitkan dengan negara Korea Utara,” katanya. -K! ONLINE.