JAKARTA – Polis Indonesia memburu seorang lelaki berusia 32 tahun yang didakwa membakar anak saudaranya gara-gara mangsa enggan mandi, lapor laman berita Detik semalam.
Kejadian berlaku di Semarang, wilayah Jawa Tengah, Sabtu lalu.
Ketua Polis Semarang Utara, Komisioner Heri Sumiarso berkata, ketika kejadian, mangsa duduk di hadapan rumah apabila suspek menyuruhnya mandi.
“Mangsa enggan menurutinya lalu suspek masuk ke dalam rumah dan mengambil minyak petrol serta mancis.
“Suspek kemudian menyiram minyak petrol ke arah mangsa lalu melempar mancis ke arah remaja perempuan itu,” kata Heri.
Beberapa jiran tampil membantu mangsa selepas mendengar jeritannya sebelum dia dibawa ke pusat kesihatan terdekat.
“Mangsa melecur dari lengan hingga ke punggung. Namun, keadaannya tidak kritikal,” tambah Heri.
Polis masih memburu suspek yang melarikan diri susulan kejadian itu. – AGENSI














