fbpx
Suasana lengang tanpa kehadiran ramai pelanggan di Medan Selera Padang Brown, George Town kelmarin.

Sejam saja meriah selepas itu sunyi sepi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Rata-rata peniaga terutama di premis makanan dan medan selera di negeri ini mendakwa mereka kini berdepan kekurangan pelanggan sejak Syawal lalu.

Ia menyebabkan ada antara peniaga terpaksa menutup operasi perniagaan selama dua hari seminggu berbanding cuma sehari sebelum ini.

Tinjauan Kosmo! di Medan Selera Padang Brown mendapati, jumlah kehadiran pelanggan pada waktu petang berkurangan, manakala jalan utama di kawasan itu juga turut lenggang.

Pada sebelah malam pula, ruang meja makan hanya dipenuhi pelanggan dalam tempoh sejam, bermula pukul 9 hingga 10 malam dan kembali susut sehingga operasi perniagaan ditutup pada pukul 11 malam.

Peniaga minuman, Firdaus Mohd. Rasul, 43, berkata, gerai yang diusahakannya sejak 20 tahun lalu kini terjejas teruk antara 50 hingga 60 peratus sehingga terpaksa menutup perniagaan selama dua hari iaitu Isnin dan Selasa berbanding seminggu sekali.

“Situasi ini berlaku sejak Syawal ketiga lalu. Nak tengok gerai ramai pelanggan hanya pada waktu malam, itu pun hanya dalam masa sejam,” katanya.

Menurutnya, situasi itu berlaku disebabkan mungkin ramai orang yang berjimat-cermat selepas berhabis untuk menyambut sambut hari raya selain kenaikan kos sara hidup.

Peniaga mi sotong, Ghazali Haribu Mohd. Ariff, 39, berkata, dia turut berdepan dengan kekurangan pelanggan sehingga menjejaskan perniagaan kira-kira 30 peratus.

“Biasanya waktu petang sudah penuh dengan pengunjung, tetapi kali ini dilihat amat berbeza sekali. Pukul 8 malam baru ada pelanggan, itupun sekejap sahaja.

“Saya harap lokasi ini kembali meriah selepas gaji. Kami masih mengekalkan harga sama walaupun harga barangan keperluan naik ketika ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN