JOHOR BAHRU – Taktik licik satu sindiket penyelewengan minyak diesel yang berselindung di sebalik operasi bengkel membaiki kenderaan terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa dalam satu operasi di Taman Mount Austin, di sini pagi hari ini.
Serbuan kira-kira pukul 2.30 pagi itu dilakukan hasil risikan selama seminggu oleh pasukan risikan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama pegawai dari ibu pejabat serta KPDN Johor.
Maklumat awal mendapati premis tanpa nama yang diserbu itu beroperasi tanpa lesen Controlled Scheduled Articles (CSA), sekali gus menimbulkan kecurigaan sebelum tindakan lanjut diambil.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, dalam operasi tersebut, pihak berkuasa berjaya merampas sejumlah 11,500 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM58,880 selain 1,200 liter lagi ditemui dalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC) bernilai RM6,144.
“Turut disita sebuah tangki IBC berisi diesel, sebuah pam untuk mengepam minyak, peralatan hos, sebuah tangki treler, sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebuah lori bonded serta empat unit tangki IBC yang berada dalam muatan lori.
“Lebih mengejutkan, sindiket itu dipercayai menggunakan lapan keping kad fleet bagi mendapatkan bekalan diesel sebelum diseleweng untuk tujuan tertentu.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM265,986.48 dengan nilai sitaan minyak diesel sahaja sebanyak RM65,024,”katanya ketika melakukan tinjauan di lokasi kejadian di sini hari ini.
Armizan berkata, dalam serbuan ith, tiga individu berjaya ditahan bagi membantu siasatan, terdiri daripada seorang warga tempatan dan dua warga Indonesia berusia antara 30 hingga 40 tahun.
Jelasnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket serta modus operandi yang digunakan termasuk kemungkinan penglibatan pihak lain.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.-KOSMO! ONLINE














