PETALING JAYA – Tindakan tidak bertanggungjawab segelintir penghuni rumah flat yang dipercayai mencampak sampah dari tingkat atas mengundang kecaman netizen selepas video tersebut tular di media sosial.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik oleh @Fiylaaaa_je di laman TikTok, dia memaparkan longgokan sampah bertaburan di bahagian bawah bangunan, dipercayai di kawasan bumbung atau ruang rata di aras rendah.
Dalam video berkenaan, dia meluahkan rasa marah dengan menegur tindakan individu terbabit yang disifatkan melampau.
“Buang sampah lah dia ni, buang sampah ni! Tolong pengurusan ambil tindakan. Banyak dah sampah dia buang, tilam semua,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, pelbaai reaksi diberikan netizen terhadap hantaran tersebut.
Seorang pengguna, @Nana_H_Dean berkata, situasi sama turut berlaku di kediamannya sejak kebelakangan ini apabila terdapat individu tidak bertanggungjawab membuang sampah sesuka hati dari tingkat atas.
“Dulu tiada masalah, tetapi sejak akhir-akhir ini semakin kerap orang buang sampah sesuka hati. Rumah saya ada ‘awning’, jadi semua sampah jatuh dan tersangkut di situ. Penat nak bersihkan, baru sahaja bersih keesokan hari sudah ada lagi,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @Lana Jomari turut meluahkan rasa kesal terhadap sikap segelintir penghuni yang didakwa mengambil mudah isu kebersihan.
“Senang betul hidup mereka, main campak sampah begitu sahaja. Lama-lama bumbung boleh penuh dan berisiko roboh sebab terlalu berat dengan sampah. Tikus pun akan bertambah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














