STANDARD skuad berbasikal trek kebangsaan dikesan merosot setiap kali ketiadaan jaguh dunia, Datuk Azizulhasni Awang yang dianggap sebagai ‘pemimpin sebenar’ dalam pasukan ketika ini.
Pengarah Teknikal Skuad Berbasikal Trek Negara, John Beasley menyifatkan isu prestasi yang melanda pasukan negara bukan berpunca daripada kekurangan bakat, sebaliknya kegagalan pelumba muda mengekalkan tahap profesionalisme tinggi.
Beliau menjelaskan, kehadiran Azizulhasni atau The Pocket Rocketman itu dalam pasukan membawa satu elemen kepimpinan yang gagal diisi oleh pelumba lain sepanjang ketiadaannya sebelum ini.
“Apabila Azizul kembali, kita mendapat semula kepimpinan dalam kumpulan. Apabila dia tiada, itulah yang hilang daripada pasukan ini.
“Kita ada atlet, tetapi tiada pemimpin sebenar. Dia (Azizul) sangat profesional dan apabila dia berada dalam pasukan, standard (skuad) akan meningkat. Namun, apabila dia tiada, standard itu jatuh dan itulah yang berlaku ketika ini,” katanya.
Beasley turut mendedahkan bahawa beliau jarang didekati oleh pelumba muda yang mahu mendalami aspek taktikal secara mendalam meskipun pintunya sentiasa terbuka.
“Pintu saya sentiasa terbuka untuk sesiapa sahaja, tetapi tidak ramai yang datang mengetuk pintu untuk bertanya; ‘bolehkah saya datang dan lakukan sesi taktikal?’.
“Ini adalah bidang di mana mereka perlu menjadi lebih profesional. Jika mereka mahu menjadi atlet yang lebih baik, perkara-perkara kecil inilah yang akan memberikan perbezaan besar,” tegasnya.
Azizulhasni ketika ini dalam persiapan terbaik untuk menghadapi Kejohanan Piala Dunia Trek UCI 2026 yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai bermula hari ini.
Pelumba kelahiran Terengganu itu turun ke nilai dengan momentum terbaik apabila susulan kejayaannya menjuarai acara keirin pada siri pertama di Perth, Australia, bulan lalu.
Sebagai rekod, prestasi skuad berbasikal trek negara hambar di Siri Piala Dunia Trek di Hong Kong apabila kesemua wakil gagal menembusi pusingan kedua dalam acara keirin lelaki serta pecut individu wanita ketika tiada kelibat Azizulhasni pada kejohanan itu.














