BENARLAH kata orang, rezeki tidak pernah salah alamat. Dalam konteks karier penyanyi Wani, situasi sebegitu yang sedang dilaluinya apabila pertama kali melangkah ke pentas berprestij, Anugerah Juara Lagu edisi ke-40 (AJL40) impak tuah karya berjudul Cak Cak Cekuk.
Wani mengakui pernah hampir berputus asa untuk bertanding dalam anugerah berprestij tersebut, namun ternyata, hasil takkan pernah mengkhianati usaha.
Segalanya berubah selepas Wani atau nama lengkapnya Syazwani Abdullah, 26, melakukan persembahan pembukaan sewaktu AJL39 tahun lalu.
“Sebenarnya pernah hampir-hampir berputus asa bila mula-mula waktu saya gantikan Ernie Zakri dulu, selepas itu saya masuk dengan lagu sendiri iaitu Kamu-Kamu.
“Tapi waktu itu memang saingan sangat sengit dan saya tengok okeylah, tak ada harapan kan.
“Bila tahun lepas saya dipanggil untuk membuat persembahan pembukaan, saya rasa berdiri sendiri di atas pentas itu memberikan saya semangat untuk kembali semula dan betul-betul fokus dengan lagu yang saya keluarkan,” katanya selepas pengumuman finalis Anugerah Juara Lagu ke-40 Separuh Akhir (AJL40SA) baru-baru ini.
Ditanya mengenai titisan air mata sebaik keputusan, pelantun lagu Biarkan itu mengakui sebak dengan harapan yang diberikan peminat, namun segalanya terjawab selepas namanya mara ke peringkat seterusnya.
“Menangis sebab bawa satu perasaan yang kita memang baca apa orang cakap. Mereka kata lagu saya cukup kuat untuk ke final.
“Tapi saya tak nak rasa terlalu selesa. Saya selalu letak diri saya, apa-apa boleh jadi pada saat-saat akhir.
“Selagi saya tak habis nyanyi, saya akan kata saya tetap bertanding, saya tetap takut.
“Penilaian juri semua membuatkan saya rasa bersyukur lagu ini akhirnya layak. Saya rasa sangat kerdil nak letak diri sebaris dengan senior yang lain,” ujarnya.
Rezeki Allah
Tambahnya, momen mara ke AJL sangat istimewa. Dia bersyukur atas rezeki yang Allah aturkan.
“Semestinya berbaloi. Memikirkan perjalanan dan usaha orang yang menaikkan dan tularkan lagu ini.
“Lagu ini pergi dengan cara tersendiri yang saya tak pernah jangka, tular dengan sangat mengejutkan.
“Ini membuatkan saya rasa sangat bersyukur dengan segala perancangan Allah,” jelasnya lagi.
Wani Kayrie layak ke pentas AJL40 menerusi lagu Cak Cak Cekuk hasil ciptaan Karim Karam, Shane Kannedy dan Iqie Hugh.
Selain Wani, bintang lain yang turut mara ke AJl40 termasuk Hazama (Semacam Pandora), Marsha (Tangisan Seorang Pendosa), K.O.I (Tiwikarma), Aina Abdul (Kamu) dan Amir Masdi (Nurcinta).
Turut layak, Dayang Nurfaizah (Lemah), Aisha Retno (Tak Adil), Ryenald Guntabid (Lumangad Oku Dika) dan Luca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik (Ke Mana Ni).
BERADA dalam industri muzik sejak kanak-kanak, Wani akhirnya beroleh peluang ke pentas AJL pada usia 26 tahun menerusi lagu
Cak Cak Cekuk.
IMPAK tular dan keunikan lirik dan muzik, Cak Cak Cekuk melayakkan Wani bergelar finalis AJL40.














