fbpx
Kenderaan tanpa pemandu darat (UGV) dikenali sebagai 'TUAH' dipamerkan buat pertama kali di reruai Deftech. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/KOSMO!

‘TUAH’ perisik senyap awasi ancaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Industri pertahanan negara terus melakar pencapaian signifikan dalam pembangunan teknologi menerusi penghasilan kenderaan tanpa pemandu darat (UGV) dikenali sebagai ‘TUAH’ (Tactical Utility Autonomous Hybrid Vehicle).

Projek tersebut merupakan hasil kerjasama strategik antara DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang menampilkan keupayaan tempatan dalam pembangunan sistem autonomi, kecerdasan buatan (AI) dan kejuruteraan kenderaan elektrik.

Jurutera Mekanikal Automotif Deftech, Nor Hazwani Mohd. Yusof berkata, TUAH direka sebagai kenderaan modular pelbagai guna yang boleh disesuaikan mengikut keperluan termasuk untuk misi logistik, penyelamatan, operasi tempur serta pemantauan (reconnaissance).

“Kami membangunkan platform modular di mana badan kenderaan boleh diubah suai mengikut fungsi yang diperlukan. Ia boleh digunakan di jalan raya mahupun kawasan lasak (off-road),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di reruai Deftech sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, di sini hari ini.

Menurutnya, TUAH menggunakan sistem pacuan elektrik dengan teknologi ‘in-wheel motor’ menjadikannya lebih efisien dan senyap serta tidak bergantung kepada internet.

“Sistem pengiraan dan algoritma diproses secara dalaman (edge computing), membolehkan kenderaan bergerak sendiri ke koordinat yang ditetapkan walaupun dalam keadaan rangkaian terhad.

“Dalam mod autonomi, kenderaan ini mampu mencapai kelajuan sehingga 40 kilometer sejam dengan jarak operasi sekitar 200 kilometer. Dalam mod manual pula, ia boleh dipandu sehingga 100 kilometer sejam menggunakan kawalan jauh,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi (ITC) UMPSA, Prof. Dr. Muhammad Aizzat Zakaria berkata, pembangunan teknologi itu telah bermula sejak 2013, dengan fokus kepada pembinaan robotik, algoritma dan sistem operasi.

Melalui penyelidikan berterusan, katanya, UMPSA berjaya membangunkan pelbagai teknologi kritikal termasuk sensor fusion, pemprosesan imej serta sistem pengurusan armada medan tempur.

Dalam pada itu, Muhammad Aizzat menegaskan, antara kepentingan utama pembangunan teknologi tempatan seperti TUAH adalah untuk memelihara kedaulatan teknologi.

“Dengan sistem dibangunkan sepenuhnya di dalam negara, data sensitif seperti pemetaan, GPS dan maklumat operasi dapat dikawal tanpa bergantung kepada pihak luar.

“Dalam peperangan moden, data adalah aset paling kritikal. Jika kita bergantung kepada teknologi luar, kita tidak pasti ke mana data itu disimpan atau bagaimana ia digunakan,” jelasnya.

Katanya, TUAH juga berpotensi digunakan dalam operasi keselamatan awam seperti pemantauan sempadan, kawalan penyeludupan serta rondaan di kawasan berisiko tinggi.

Versi lebih kecil yang dikenali sebagai ‘TUAH Mini’ turut dibangunkan untuk operasi di kawasan sempit seperti bangunan dan gudang.

“Setakat ini, TUAH masih berada pada peringkat prototaip, banjn kita terima sambutan mengalakkan daripada orang ramai. Kami berharap TUAH dapat menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa, selain membuka peluang kerjasama dengan agensi keselamatan negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN