fbpx
Akmal Nasrullah.

Pengangkutan laut, darat stabil, sektor penerbangan mula tunjuk tekanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Pergerakan pengangkutan laut dan darat dilaporkan masih relatif stabil khususnya bagi pengendalian kargo
dan pergerakan penumpang pengangkutan awam.

Bagimanapun, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sektor penerbangan dan pelancongan sudah mula menunjukkan tanda tekanan.

“Sebanyak 55 penerbangan mingguan melibatkan enam syarikat penerbangan telah dibatalkan bagi tempoh 23 hingga 28 Mac lalu dan ketibaan pelancong bagi 1 hingga 25 Mac menunjukkan penurunan.

“Ia dengan unjuran penyusutan penumpang penerbangan dari Asia Barat sebanyak 1.5 juta orang bagi tahun 2026.

“Dalam pasaran buruh pula, impak lebih nyata dijangka muncul pada suku kedua 2026 iaitu bermula Jun 2026 sekiranya konflik berlarutan,” katanya pada sidang akhbar sini tadi.

Akmal Nasrullah berkata, situasi itu menunjukkan bahawa krisis yang tercetus di Asia Barat mempunyai ‘lag effect’.

“Hari ini kita nampak tekanan kos, beberapa minggu atau bulan kemudian baru kita nampak tekanan terhadap pekerjaan dan pendapatan.

“Maka dengan itu, kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara sedang meneliti mitigasi sesuai untuk mengurangkan keresahan rakyat dalam isu ini,” katanya.

Pada masa sama, kerajaan turut memaklumkan maklumkan bahawa bekalan makanan asas masih stabil yang mana terdapat lebihan stok bagi beberapa kategori utama termasuk beras, ayam, telur, sayur-sayuran, ikan, susu dan buah-buahan.

“Pada masa yang sama, harga makanan tempatan terpilih masih menunjukkan kestabilan relatif hasil pemantauan dan langkah kawalan sedia ada.

“Maka, kerajaan memberi jaminan bahawa negara tidak berdepan gangguan bekalan makanan asas dalam jangka terdekat,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan mengakui bahawa tekanan sedang meningkat pada peringkat kos pengeluaran.

“Komponen utama seperti diesel, baja dan makanan ternakan merangkumi sekitar 40 peratus input pengeluaran pertanian.

“Kerajaan mengunjurkan kenaikan makanan ternakan sekitar 8 peratus dan baja sekitar 15 hingga 20 peratus dengan 63 peratus keperluan baja diimport.

“Ini memberi isyarat bahawa tekanan kos boleh diterjemahkan kepada harga pengguna jika tidak dikawal lebih awal,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN