SEREMBAN – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, keabsahan mahupun kelancaran perjalanan Istiadat Perasmian Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15 hari ini tidak terjejas tanpa kehadiran pembesar negeri.
“Walaupun dengan ketidakhadiran pembesar negeri yang lazimnya mengiring beta pada setiap perasmian persidangan negeri.. keadaan ini tidak menjejaskan keabsahan mahupun kelancaran persidangan ini,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Rasmi persidangan berkenaan hari ini.
Sehubungan dengan itu, titah baginda, pentadbiran Kerajaan Negeri wajar diteruskan dan berfungsi seperti biasa, demi memastikan kelangsungan tadbir urus yang teratur serta kepentingan rakyat sentiasa terpelihara.
“Sebelum Beta mengakhiri titah, Beta ingin membangkitkan satu perkara yang amat penting kepada Negeri Sembilan dan juga kepada Beta sendiri.
“Perkara ini ditujukan khususnya kepada individu-individu yang telah diberikan jawatan atau kedudukan yang tinggi, yang datang bersama amanah serta tanggungjawab yang besar.
“Oleh itu, segala tindakan dan keputusan hendaklah dibuat setelah meneliti semua
fakta dan maklumat yang berkaitan. Selain itu, Beta menegaskan bahawa setiap tindakan dan keputusan yang diambil mestilah berlandaskan garis panduan serta undang-undang yang telah ditetapkan.
“Jangan sekali-kali membuat keputusan atau tindakan yang dipengaruhi oleh hawa nafsu dan emosi semata-mata. Kegagalan mematuhi prinsip ini boleh menjejaskan
integriti pentadbiran serta kesejahteraan negeri,”titah baginda.
Di samping itu, Tuanku Muhriz turut menyeru kepada para netizen agar setiap ulasan atau komen terhadap sesuatu isu dibuat dengan penuh tanggungjawab dan kefahaman yang mendalam.
“Janganlah terlalu mudah mempercayai dan menyebarkan sesuatu berita tanpa siasatan serta pengesahan yang sewajarnya. Sikap terburu-buru dan tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat boleh membawa kesan yang tidak baik kepada masyarakat dan negeri,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE














