PETALING JAYA – Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menegaskan komitmen penuh untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penahanan tiga individu di Hulu Selangor yang dikaitkan dengan siasatan pengurusan dana zakat.
Presidennya, Badlishah Sham Baharin berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana integriti dan amanah merupakan teras utama dalam setiap gerak kerja organisasi itu.
“Ikram menghormati sepenuhnya proses siasatan yang sedang dijalankan dan akan memberikan kerjasama sewajarnya selaras dengan keperluan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sebagai langkah pentadbiran, individu yang terlibat telah direhatkan serta-merta daripada semua jawatan dan tanggungjawab dalam organisasi bagi memastikan kelancaran siasatan.
“Langkah ini dibuat tanpa prejudis kepada mana-mana pihak dan bertujuan menjamin ketelusan sepanjang proses siasatan berlangsung,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ikram menjelaskan bahawa kes berkenaan melibatkan tindakan individu dan tidak mencerminkan pendirian atau penglibatan organisasi secara langsung.
Tambahnya, sekiranya individu terbabit didapati bersalah, tindakan tatatertib akan diambil mengikut perlembagaan organisasi.
Ikram turut memaklumkan bahawa pihaknya akan terus menghormati proses undang-undang dan tidak akan mengeluarkan sebarang ulasan lanjut sehingga siasatan selesai.
Pada masa sama, organisasi itu komited untuk memperkukuh tadbir urus dalaman termasuk melaksanakan semakan berterusan bagi memastikan pengurusan lebih telus serta berintegriti.
“Ikram menghargai keprihatinan semua pihak dan berharap ruang diberikan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan adil dan menyeluruh,” katanya. – KOSMO! ONLINE














