SEREMBAN – Momen memegang tangan bapanya di wad yang dikongsi di TikTok dua hari lalu, menjadi kenangan terakhir buat pempengaruh, Khairulfahmi Ismail, 39, sebelum insan tersayangnya itu menghembuskan nafas terakhir.
Bapanya, Ismail Ibrahim, 80, yang diserang penyakit angin ahmar sejak 2014 sehingga lumpuh sebelah kiri badan, meninggal dunia pada pukul 11.46 malam semalam selepas 13 hari menerima rawatan di hospital akibat jangkitan paru-paru.
Khairulfahmi berkata, keadaan arwah yang mesra dipanggil atok online ketika sambutan raya lalu masih stabil, namun selera makan semakin berkurangan.
“Ketika raya okay sahaja, cuma makan dah perlahan dan kurang. Saya bawa ke klinik biasa, tapi doktor kata bacaan darah tak cantik sebelum dirujuk ke hospital pada 9 April lalu,” katanya.
Khairulfahmi berkata, dia telah menjaga bapanya selama 13 tahun sejak diserang strok.
“Pemergian ayah juga berlaku tidak lama selepas ulang tahun kelahirannya pada 11 April lalu. Saya bisikkan pada telinganya dan dia angguk tanda paham (sambutan hari lahir),” katanya.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kuala Sawah pada pukul 10.45 pagi. – KOSMO! ONLINE
@famy.ismail Angkatlah doa anak2 ayah ni. Angkatlah doa sesiapapun. Aku rindu ayah yg cergas seperti dulu. Renungannya sgt jauh.. Sayu… Doakan atok ya semua. Atok masih on antibiotics yg kuat . Oksigen , bp alhamdulillah normal. #AtokOnline














