KUALA LUMPUR – Teknologi simulasi latihan digital menjadi antara tarikan utama pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa, di sini.
Antaranya melibatkan Collaborative Fighter Interactive Trainer System (FITS) daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Reconfigurable Multi Platform Simulator daripada Kemalak Group Sdn. Bhd. (Kemalak).
Tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati pengunjung termasuk pemain industri serta pelajar tidak melepaskan peluang mencuba sendiri pengalaman mengendalikan simulasi pesawat tempur yang dipamerkan.
Pegawai Tanpa Tauliah Kanan (PTTK) FITS, Sarjan Udara Amir Mahmod Arifin berkata, sistem simulator tersebut merupakan hasil inovasi yang dibangunkan sejak 2016 dan masih digunakan serta ditambah baik sehingga kini.
Menurut beliau, FITS pada asalnya dibangunkan berasaskan kokpit pesawat Hawk yang digunakan TUDM sebelum ini, namun telah melalui proses inovasi selepas dihentikan operasi pada 2015.
“Simulator ini asalnya daripada kokpit Hawk tahun 1997 yang digunakan untuk tujuan latihan. Selepas pesawat itu tidak lagi beroperasi, kami melakukan inovasi bagi mengelakkan kos penyelenggaraan yang tinggi,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Tambah beliau, pembangunan semula sistem tersebut turut menjadikannya lebih praktikal sebagai alat latihan serta medium pendedahan kepada orang awam untuk merasai pengalaman menerbangkan pesawat tempur secara simulasi.
“Pada awalnya ia hanyalah alat bantuan pembelajaran, tetapi kini telah dinaik taraf menjadi sistem latihan interaktif yang lebih moden,” jelasnya.
Menurutnya, sambutan terhadap sistem simulator itu amat menggalakkan sejak ia mula diperkenalkan di pelbagai pameran pertahanan.
“Setiap kali kami bawa ke pameran, ia menjadi tarikan utama. Malah banyak agensi luar turut menjemput kami untuk membuat demonstrasi,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Jurutera Kemalak Anuar Ahmad berkata, syarikat itu pula mempamerkan sistem simulasi pelbagai aset termasuk kenderaan darat seperti kereta kebal dan kenderaan pengangkut diselaraskan dalam satu latihan taktikal yang sama.
Lebih menarik, simulasi ini turut memperkenalkan ‘digital tabletop’ iaitu latihan perancangan ketenteraan secara manual yang sebelum ini dilakukan menggunakan peta dan objek fizikal.
Katanya, dengan pendekatan digital, pengguna boleh merancang strategi dengan lebih terperinci dan realistik, termasuk menguji pelbagai senario sebelum sesuatu operasi sebenar dilaksanakan. – KOSMO! ONLINE














