PASIR PUTEH – Cubaan sebuah bot nelayan warga Vietnam untuk meloloskan diri dengan bertindak agresif termasuk membuang peralatan ke laut tidak berhasil apabila berjaya dipintas Maritim Malaysia (APMM) Kelantan Sabtu lalu.
Bot itu ditahan kira-kira 232 kilometer dari Muara Tok Bali di sini selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan dijalankan di bawah Op Damai, Op Naga, Op Pelantar Merah dan Op Tiris 4.0.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, bot itu cuba melarikan diri selain bertindak agresif dengan membuang tali, pukat dan tong ke laut untuk menghalang pihak berkuasa melakukan pemeriksaan.
Katanya, tekong bot juga enggan memberi kerjasama walaupun diarahkan berhenti, namun kecekapan anggota operasi berjaya memintas dan menahan vesel tersebut.
“Pemeriksaan mendapati 12 awak-awak berusia 19 hingga 60 tahun termasuk tekong berusia 42 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan surat kebenaran menangkap ikan di perairan negara.
“Bot itu dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Kelantan di sini hari ini.
Kamal memberitahu, pemeriksaan di dalam bot turut menemukan 500 kilogram hasil laut dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, peralatan dan hasil tangkapan dianggarkan RM1.2 juta. – KOSMO! ONLINE














