fbpx
MOHD ASRI menunjukkan barangan sisa e-waste yang berjaya dirampas di Pejabat JKDM Bentong di Bentong , hari ini.

Helah ‘copper concentrate’ terbongkar, 5 kontena e-waste RM3.09 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BENTONG – Taktik licik sindiket mengisytiharkan sisa elektronik (e-waste) sebagai ‘copper concentrate’ bagi mengaburi pihak berkuasa akhirnya terbongkar apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang merampas lima kontena bernilai RM3.09 juta awal bulan ini.

Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman berkata, rampasan itu dilakukan dalam satu operasi khas di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang dekat Selangor pada 2 April lalu kira-kira pukul 1 tengah hari.

“Pemeriksaan di kawasan CP-HOLD Yard North Port membawa kepada penemuan lima kontena bersaiz 12.2 meter (40 kaki) yang sarat dengan e-waste seberat lebih 88,000 kilogram.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM3.09 juta. Daripada jumlah itu, tiga kontena diimport dari Amerika Syarikat, manakala masing-masing satu dari Panama dan Sepanyol,”katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JKDM Bentong, di sini, hari ini.

Tambahnya, operasi dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Bentong dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasa termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Lembaga Pelabuhan Klang dan SIRIM Malaysia.

Menurut beliau, sindiket terbabit dipercayai menggunakan helah pengikraran tidak benar dengan mengisytiharkan barangan tersebut sebagai ‘Copper Concentrate’ dan plastik jenis Acrylonitrile-Butadiene-Styrene (ABS).

Jelasnya, taktik itu digunakan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa selain memperdaya proses pemeriksaan dokumen import.

“Siasatan awal tidak menolak kemungkinan e-waste ini dibawa masuk kerana negara ini mempunyai kemudahan kitar semula bagi mengekstrak logam berharga seperti emas, tembaga dan aluminium,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Asri menegaskan bahawa pengimportan e-waste adalah dilarang sepenuhnya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 yang telah dipinda dan berkuat kuasa mulai 1 April lalu.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN