fbpx
MOHD. NOH dan isteri, Endon membuat persiapan bagi menunaikan fardu haji bagi tahun ini di rumah mereka di Kampung Parit Baru, Ayer Baloi, Pontian.

Mesej pukul 10 malam bawa berita gembira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Penantian selama 17 tahun sepasang suami isteri warga emas untuk menunaikan haji berakhir selepas mereka menerima khabar gembira terpilih menunaikan haji tahun ini.

Mohd. Noh Bono, 72, dan isteri, Endon Basri, 66, menyifatkan saat menerima mesej kelulusan rayuan Tabung Haji (TH) sebagai saat paling menggembirakan dalam hidup mereka.

Kata Mohd. Noh, mereka hampir hilang harapan apabila nama masih belum tersenarai sebagai bakal jemaah haji 2026, sebelum mengambil keputusan membuat rayuan pada saat akhir.

“Seperti satu keajaiban, se­minggu selepas membuat rayuan, kami terima mesej WhatsApp pada pukul 10 malam memaklumkan permohonan diluluskan.

“Kami hanya mampu menangis… tak sangka Allah jawab doa kami secepat itu,” katanya di rumahnya di Kampung Parit Baru, Ayer Baloi, di sini semalam.

Bekas mekanik itu menghadiri kursus haji saban tahun, malah sudah lima kali mengikutinya sebagai persediaan jika suatu hari dipanggil menjadi tetamu Allah.

“Saya percaya, kalau belum sampai giliran, kita teruskan usaha dan berdoa. Saya ikut kursus setiap tahun supaya bila dipanggil nanti, saya benar-benar bersedia,” ujarnya.

Bapa kepada empat anak itu yang mengusahakan kebun kelapa sawit seluas 4.04 hektar berkata, setiap hasil jualan disimpan sedikit demi sedikit ke
dalam akaun TH, menjadi bukti kesungguhan dan impiannya yang tidak pernah padam.

“Walaupun kos rayuan agak tinggi, RM33,300 seorang, saya bersyukur simpanan kami mencukupi,” katanya.

Pasangan itu dijadualkan berlepas ke Tanah Suci pada 17 Mei ini selama 43 hari melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN