fbpx
Gambar hiasan.

RM17,800 lesap, 9 individu ditipu pakej perkahwinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JASIN – Polis sedang mengesan seorang wanita selepas dipercayai terlibat dalam kes penipuan tawaran pakej perkahwinan yang menyebabkan sembilan individu mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM17,800.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, pihaknya menerima sembilan laporan polis pada 19 April lalu membabitkan modus operandi sama.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, suspek berusia 27 tahun yang bekerja di sebuah syarikat perancang perkahwinan bertindak menawarkan pakej kepada pelanggan secara bersemuka tanpa pengetahuan majikannya.

“Suspek kemudian meminta mangsa membuat bayaran deposit ke akaun peribadi miliknya sebelum menghilangkan diri.

“Kegiatan itu terbongkar selepas majikan syarikat berkenaan menyedari berlaku penyelewengan dan tampil membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, dua laporan utama kes tersebut diklasifikasikan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, manakala laporan lain direkodkan sebagai Refer Other Report (ROR).

“Kes melibatkan beberapa lokasi sekitar Merlimau dan Jasin, malah turut dikesan berlaku di daerah lain termasuk Melaka Tengah.

“Suspek yang beralamat di Ipoh, Perak bagaimanapun masih gagal dikesan dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan,” ujarnya.

Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta tampil membantu siasatan.

Terdahulu, beberapa hantaran turut tular di Threads berkaitan penipuan tersebut, yang dikongsikan oleh individu dipercayai ahli keluarga mangsa.

Hantaran itu mendakwa mangsa kerugian dialami mencecah RM7,000 melibatkan pakej pelamin dan dua pasang baju pengantin. Sekeping gambar seorang wanita yang didakwa suspek turut dimuat naik.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN