fbpx
AZIZULHASNI mengakui sudah lama menantikan peluang untuk berdepan Lavreysen ketika aksi berlangsung di tempat sendiri.

Piala Dunia: Azizulhasni idam final impian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAGUH basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, memasang impian besar terutama untuk melangkah ke pentas final Kejohanan Piala Dunia Trek UCI 2026, sekali gus merealisasikan perhitungan impian menentang juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen.

Aksi yang dijadualkan berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai pada 24 hingga 26 April itu dianggap sebagai medan terbaik buat Azizul menguji kemampuan sebenar menentang pelumba keirin No. 4 dunia itu di hadapan penyokong sendiri.

Azizul mengakui cukup teruja menantikan kehadiran Lavreysen, terutama selepas melihat prestasi luar biasa pelumba Belanda itu yang merangkul emas keirin di Hong Kong baru-baru ini.

“Bagi saya, apabila melihat perlumbaan dia di Hong Kong, saya jadi semakin teruja. Apapun, saya perlu berhati-hati memandangkan Harrie (Lavreysen) pelumba berpengalaman, malah mengikuti perlumbaan di Eropah.

“Apabila melihat pelumba berkualiti seperti dia, saya jadi lebih bersemangat. Saya sendiri sudah lama menantikan peluang untuk berlumba dengannya di Malaysia. Saya mahu berjumpa dengannya dalam aksi keirin terlebih dahulu dan baru fikir soal acara pecut,” katanya ketika ditemui selepas majlis sidang media pengumuman penaja di Nilai semalam.

Bagaimanapun, pelumba yang mendapat jolokan The Pocket Rocketman itu sedar laluan ke pentas final kali ini jauh lebih mencabar berbanding siri di Perth, Australia sebelum ini ekoran jumlah penyertaan yang ramai dan format pusingan yang lebih padat.

“Saingan memang sangat kompetitif. Format kali ini berbeza kerana lebih banyak penyertaan dan pusingan. Dalam acara keirin contohnya, ada tambahan pusingan yang memaksa kita berlumba lebih banyak.

“Bagi acara pecut pula, jika menang semua peringkat, jumlah perlumbaan boleh mencecah sehingga sembilan kali sebelum sampai ke final. Malah, Harrie sendiri dilihat mula keletihan di peringkat separuh akhir di Hong Kong,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN