LISBON – Ketua Jurulatih Portugal, Roberto Martinez memberi jaminan tidak akan sisihkan Cristiano Ronaldo yang diyakini mampu memainkan peranan penting dalam skuad kebangsaan pada kempen Piala Dunia 2026 nanti.
Sebagai rekod, Ronaldo telah diketepikan daripada skuad Selecao pada jendela antarabangsa lepas, tetapi dijangka mengetuai Portugal ke Piala Dunia sekali gus menjadi penampilan keenam peribadi sejak edisi 2006.
Menurut Martinez, bintang Al Nassr itu dijangka pulih semula dalam masa terdekat untuk berada pada tahap tertinggi bagi terus memberi inspirasi kepada rakan sepasukan nanti.
“Ronaldo adalah kapten kami, contoh terbaik dan pemain yang sentiasa dahagakan kejayaan serta berusaha menjadi lebih baik setiap hari.
“Usia hanya sekadar angka buatnya dan apa yang penting dia mampu menunjukkan standard tertinggi dan menjadi inspirasi kepada pemain muda,” katanya.
Mengulas masa depan Ronaldo yang dijangka bakal bersara di pentas antarabangsa selepas berakhir kejohanan bola sepak terbesar dunia itu, Martinez enggan membuat sebarang ramalan.
“Sukar untuk meramalkan masa depan dan saya enggan membuat sebarang andaian tentang Ronaldo. Fokus dia hanyalah untuk menjadi yang terbaik ketika ini,” jelasnya.
Ronaldo ketika ini masih pegang rekod penjaring antarabangsa terbanyak sepanjang zaman dengan 143 gol dalam 226 penampilan bersama Portuga sejak melakukan debut pada 2003. – AGENSI














