SUNGAI PETANI – Dua anggota tentera berpangkat koperal masing-masing didenda RM2,200 oleh dua Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencederakan dua rakan setugas mereka, bulan lalu.
Tertuduh, Mohamad Izzuddin Ahmad, 27, dan Muhamad Amir Irfan Mohd Ridzuan, 25, dijatuhi hukuman itu selepas mereka mengaku bersalah di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi dan Majistret Mohamad Azlan Basri.
Di hadapan Muhammad Syaiful, mereka didakwa mencederakan lelaki berusia 25 tahun di bilik penginapan bujang Batalion 165 Risik, Kem Lapangan Terbang Sungai Layar di sini antara pukul 10.05 hingga 11.50 malam, 5 Mac lalu.
Mahkamah menetapkan denda RM700 setiap seorang atau penjara 14 hari, jika gagal bayar.
Di hadapan Mohamad Azlan pula, mereka dituduh mencederakan seorang lagi lelaki berusia 25 tahun di lokasi pada masa dan tarikh sama dan didenda RM1,500 setiap seorang atau penjara dua bulan jika gagal bayar.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Sebelum ini, media melaporkan dua anggota tentera direman kerana mencederakan dua anggota lain. Mengikut laporan awal, mangsa mendakwa ditumbuk di muka, selain ditendang dan dipukul menggunakan rotan serta tali di punggung dan tapak kaki.
Dua mangsa yang berusia 25 tahun turut diarahkan melakukan ‘fizikal training’ di koridor kediaman tersebut sehingga ke awal pagi. – KOSMO! ONLINE














