PETALING JAYA – Kelibat objek berwarna putih yang kelihatan terbang laju di sebuah lebuh raya, semalam meraih perhatian ramai.
Menerusi perkongsian seorang wanita, kejadian berkenaan didakwa berlaku di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson.
Menggunakan profil @Miyaakhir di media sosial, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8 malam tadi berdasarkan rekod yang tercatat pada rakaman papan pemuka (dashcam) dikongsikan pada hantaran tersebut.
“Wei, apa benda tu! Highway (Lebuh Raya) Seremban-Port Dickson,” tulisnya ringkas pada kapsyen.
Menerusi perkongsiannya itu, ada dalam kalangan netizen yang turut berasa seram, malah ada juga berkongsikan pengalaman serupa.
“Rasanya langsuir kot sebab orang kata dia kalau terbang memang terbalik dan laju,” ujar @Amirul.ashraf.nazri.
“Pernah kena dengan kawan dulu, aku tengok dia, dia tengok aku. Angkat kening ja tak cakap apa-apa. Sampai rumah baru sembang, sepanjang jalan diam,” kongsi @Encikbaikhati.
“Saya pernah kena juga, balik naik motosikal pukul 12 pagi. Meminta sangat lalu balik waktu gitu, nak elak sesak punya fasal sebab esok kelas,” komen netizen yang lain. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














