WASHINGTON – Blue Origin yang merupakan syarikat milik pengasas Amazon, Jeff Bezos semalam berjaya mendaratkan semula penggalak roket New Glenn miliknya, mengesahkan pencapaian teknikal yang bakal merancakkan lagi persaingan penerokaan angkasa lepas dengan firma SpaceX.
Namun, misi tanpa kru itu turut mengalami kegagalan separa apabila satelit yang dibawa tidak menetap di orbit yang sepatutnya.
Blue Origin telah melancarkan New Glenn sebanyak dua kali tetapi hanya dengan penggalak roket sekali pakai. Ia sebelum ini turut melancarkan roket lebih kecil, New Shepard yang digunakan untuk pelancongan angkasa di orbit Bumi, dengan komponen kitar semula dalam operasi kurang mencabar dari segi teknikal.
Pendekatan kitar semula itu berlaku di tengah-tengah persaingan sengit antara syarikat Bezos dan firma SpaceX milik rakan bilionairnya, Elon Musk yang turut berjaya mendapatkan semula penggalak daripada roket yang dilancarkan.
Roket New Glenn setinggi 98 meter itu berlepas dari Cape Canaveral, Florida, dengan penggalak kitar semula kira-kira pukul 7.25 pagi (waktu tempatan) dengan membawa satelit komunikasi untuk syarikat AST SpaceMobile.
Selepas pelancaran, dua peringkat roket itu berpisah, dengan bahagian atas meneruskan perjalanan membawa satelit ke angkasa lepas. Penggalak roket kemudian mendarat di platform terapung Bule Origin di Lautan Atlantik, kira-kira sembilan minit dan 30 saat selepas pelancaran..
Blue Origin kemudian berkata dalam satu kenyataan di platform X bahawa satelit itu aktifkan dengan betul tetapi diletakkan dalam ‘orbit yang tidak nomina’ atau tidak sepatutnya. Syarikat itu sedang meneliti kejadian tersebut. – AFP














