fbpx
Gambar Abang Minyak Hitam Jalanan bersama Dicky yang dimuat naik di Facebook Zulkifli.

Bantu baiki motosikal bukan sekadar ihsan, tetapi dakwah sebenar – Menteri Agama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tindakan seorang individu dikenali sebagai Abang Minyak Hitam Jalanan membantu seorang pemuda Cina yang berada dalam kesusahan bukan sekadar mencerminkan nilai kemanusiaan, malah disifatkan sebagai bentuk dakwah yang paling dekat dengan hati masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan berkata, pertolongan dihulurkan tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama itu memperlihatkan keindahan Islam yang diterjemahkan melalui akhlak, ihsan dan kasih sayang sesama insan.

Menurut beliau, kisah melibatkan pemuda dikenali sebagai Dicky itu membuktikan dakwah bukan hanya terletak pada kata-kata atau ceramah semata-mata, sebaliknya turut terserlah menerusi perbuatan baik yang memberi kesan mendalam kepada kehidupan orang lain.

“Apa yang abang Minyak Hitam Jalanan buat itu bukan sekadar tolong baiki motosikal, tetapi itulah dakwah. Dakwah dengan akhlak, dengan ihsan. Islam itu bukan hanya kata-kata, tetapi cara kita menyantuni manusia,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Menurut Zulkifli, Dicky yang merupakan seorang bapa tunggal dari Tawau, Sabah dan bekerja di sebuah restoran halal di sebuah pusat beli-belah di Taman Melawati sebelum ini dibantu ketika melalui fasa sukar dalam hidupnya.

Katanya, selepas memperoleh sedikit rezeki hasil siaran langsung di TikTok, pemuda itu kembali mencari Abang Minyak Hitam Jalanan bukan hanya untuk membalas jasa, malah dengan niat mahu orang lain pula dapat merasai bantuan yang sama.

“Momen beliau salam siap cium tangan, itu bukan sekadar adab, itu akhlak. Tinggi nilainya.

“Hakikatnya, susah itu tak kenal bangsa. Ramai yang memerlukan bantuan, cuma kita tak nampak. Tetapi bila ada yang hulur pertolongan tanpa berkira, di situlah indahnya kemanusiaan,” ujar Zulkifli.

Tambah beliau, peristiwa itu memberi gambaran tentang masyarakat Malaysia yang sebenar, iaitu saling membantu, saling menghormati dan hidup dalam semangat ihsan tanpa membezakan sesiapa.

“Inilah Malaysia yang kita mahu, masyarakat bertamadun yang saling bantu membantu tanpa kira siapa.

“Semoga kebaikan kecil ini jadi asbab rahmat yang lebih besar. Budi yang baik, insya-Allah tak pernah hilang nilainya,” katanya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang pemuda Cina tidak dapat menahan sebak selepas menerima bantuan membaiki motosikalnya tanpa dikenakan sebarang bayaran dalam satu kejadian yang dikongsikan di TikTok.

Menurut pemilik akaun minyakhitamjalanan, kejadian berlaku sekitar pukul 12.30 tengah malam ketika dia menerima panggilan daripada lelaki berkenaan yang meminta bantuan selepas motosikalnya mengalami kerosakan.

Sebaik kerja pembaikan selesai, dia mendapati lelaki tersebut hanya mempunyai wang yang cukup-cukup untuk kegunaannya sendiri.

Tersentuh dengan situasi itu, mekanik berkenaan mengambil keputusan untuk tidak mengenakan sebarang bayaran dan menggunakan wang infak bagi menampung kos pembaikan tersebut.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN