PETALING JAYA – Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan diarahkan mengadakan mesyuarat tergempar bersama semua agensi berkaitan esok, susulan gangguan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, mesyuarat itu akan meneliti secara menyeluruh prosedur operasi standard sedia ada, khususnya dalam mengurus insiden kerosakan di lapangan terbang.
Menurut beliau, semakan akan memberi fokus kepada aspek masa tindak balas, penyampaian maklumat kepada penumpang serta keberkesanan pelan kontingensi.
“Walaupun sistem BHS berjaya dipulihkan pada petang hari sama, ia tidak bermakna isu ini selesai sepenuhnya.
“Penumpang yang menggunakan pintu masuk utama negara berhak menerima perkhidmatan yang boleh dipercayai, dan insiden ini jelas tidak memenuhi jangkaan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selaku pengendali KLIA perlu bertanggungjawab terhadap kejadian berkenaan.
Dalam masa sama, Civil Aviation Authority of Malaysia telah diarahkan menjalankan siasatan terperinci, termasuk menilai sama ada tindakan tegas wajar dikenakan terhadap MAHB atas kegagalan penyampaian perkhidmatan.
Tambahnya, insiden tersebut bukan sekadar isu teknikal semata-mata, sebaliknya mencerminkan keperluan penambahbaikan secara menyeluruh.
“Kita tidak boleh bercakap soal menjadi antara lapangan terbang terbaik dunia jika budaya akauntabiliti dan tanggungjawab belum benar-benar diperkukuh,” ujarnya.
Kata Anthony, standard yang ditetapkan perlu diterjemahkan melalui tindakan pantas dan berkesan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan beberapa penumpang mendakwa berlaku kelewatan luar biasa bagi urusan tuntutan bagasi di KLIA Terminal 1, Sepang semalam.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh pengguna Thread, dia mendakwa terdapat penumpang terpaksa menunggu sehingga empat jam, namun mereka tetap bersabar walaupun kecewa.
Perkongsian itu turut disertakan dengan gambar suasana sesak di kawasan tuntutan bagasi yang memperlihatkan orang ramai berkumpul sambil menunggu beg masing-masing.
Sementara itu, pihak pengurusan KLIA memaklumkan, gangguan berpunca daripada masalah bekalan elektrik di sebuah stesen janakuasa luar yang menyebabkan sistem pengendalian bagasi terjejas buat sementara waktu, sekali gus mengakibatkan kelewatan tuntutan bagasi. – KOSMO! ONLINE














