PETALING JAYA – Pengukuhan ringgit berbanding baht selain faktor ekonomi tidak menentu di Selatan Thailand menjadi penyebab utama tukang masak Siam kembali ke negara ini untuk mencari rezeki selepas tertarik dengan tawaran gaji lumayan.
Kebanyakan mereka merupakan pekerja yang pernah bekerja di restoran-restoran tomyam di negara ini sebelum balik ke negara asal akibat kejatuhan ringgit tahun lalu.
Tinjauan Kosmo! Ahad mendapati beberapa restoran tomyam di sekitar Lembah Klang dan Kelantan kembali menggaji pekerja dari selatan Thailand bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.
Pengusaha restoran mengakui kemasukan semula tenaga kerja dari negara jiran itu sedikit sebanyak membantu operasi perniagaan yang sebelum ini berdepan kekurangan pekerja.
Di Kota Bharu, Pemilik kedai tomyam, Zureda Mat, 46, berkata, dia akan membawa tiga ahli keluarganya untuk bekerja di sini hari ini selepas pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman.
Katanya, sebelum ini kesemua tiga ahli keluarganya itu pernah bekerja di sini tetapi pulang ke semula Narathiwat selepas ditawarkan gaji lebih mahal.
“Banyak rungutan daripada tauke restoran di sana mengatakan kurang sambutan kerana kemerosotan jumlah pelancong Malaysia sejak bulan puasa.
“Saya bayar gaji ikut kemahiran. Tukang masak naik RM20 kepada RM120 dan pembantu daripada RM80 ke RM100,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Pelayan restoran tomyam dikenali sebagai Amir, 30, berkata, gaji di Malaysia sangat lumayan berbanding di Thailand hinggakan dia dapat mengumpul RM10,000 sebelum dia balik ke kampung halaman untuk menjadi buruh kasar.
Katanya, dia ingin bekerja semula di sini selepas ditawarkan gaji RM70 sehari berbanding RM50 sebelum ini.
Dalam pada itu, Zainal Hassan, 40, berkata, dia datang semula ke sini untuk bekerja di kedai saudaranya yang ketiadaan tukang masak. Dia mempunyai pengalaman selama 10 tahun.
“Gaji ditawarkan agak lumayan. Jika ada yang tawar gaji banyak di Kuala Lumpur atau Johor pun saya sedia merantau,” katanya.
Di Petaling Jaya, pengusaha restoran, Azlan, 42, berkata, kekurangan pekerja sebelum ini menyebabkan operasi kedainya terganggu.
“Sekarang bila pekerja Thailand masuk semula, operasi dapur lebih lancar. Kita juga terpaksa naikkan sedikit gaji untuk tarik mereka datang semula,” katanya.
Pekerja kedai tomyam, Som Mahasae, 27, berkata, dia kembali ke Kuala Lumpur selepas sukar mendapatkan kerja di Siam ketika balik pertengahan tahun lalu.
“Ketika itu bath agak kukuh berbanding ringgit iaitu sekitar 7.5 hingga 7.8 bath berbanding RM1. Sekarang lebih banyak iaitu RM1 cecah 8.2 bath,” katanya.
“Sebab itu ramai kawan dan saudara mula masuk Malaysia untuk bekerja sejak awal tahun ini dan selepas raya. Saya ditawarkan gaji hingga RM2,600 sebulan termasuk makan minum dan tempat tinggal,” katanya.
Ujar Som, sebelum ini dia boleh dapat hingga RM2,000 sebulan termasuk tip dan kerja lebih masa kerja di Kuala Lumpur. Apabila balik Siam, pendapatan sebagai tukang rumah pula tidak menentu hanya 10,000 bath (RM1,300) atau kurang.
Menurut Som, keadaan ekonomi semasa di Siam makin mencabar termasuk kenaikan kos bahan api dan sara hidup selain kekurangan peluang pekerjaan.
Hasrizal Mat Husen, 27, pula berkata, faktor keselamatan juga menjadi antara sebab utama mereka kembali ke Malaysia.
“Di beberapa kawasan masih ada kejadian tembak-menembak dan gangguan keselamatan.
“Awal bulan hari itu ada kejadian menembak dekat Narathiwat. Kami risau untuk tinggal lama di sana,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














