PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengakui jurang kualiti menjadi pemisah dalam usaha membantu pasukan melakar sejarah selepas tewas 1-2 kepada Al-Ahli dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), awal pagi semalam.
Menurut Xisco, pasukan gagal mengekalkan rentak dengan mencipta peluang selepas lawan beraksi dengan 10 pemain untuk lebih 60 minit baki perlawanan telah memberi keyakinan buat tuan rumah.
“Saya mahu ucap terima kasih kepada pemain kerana saya tahu betapa kuat mereka menjalani latihan setiap hari.
“Tahniah juga kepada Al-Ahli, mereka mempunyai lebih kualiti di bahagian serangan, tetapi kami tetap bersaing dan sentiasa berada dalam permainan (untuk bangkit),” katanya.
Pada perlawanan di Stadium King Abdullah, Jeddah itu, JDT berjaya mendahului 1-0 hasil jaringan sendiri Ali Majrashi dan memiliki kelebihan apabila pemain pertahanan lawan itu dilayangkan kad merah.
Namun, Al-Ahli selaku juara bertahan bangkit untuk menang menerusi penyudah dua pemain import, Franck Kessie dan Galeno untuk mara ke separuh akhir.
Mengulas lanjut, Xisco mengakui kederaan Jairo Da Silva yang disepak secara tidak sengaja oleh Majrashi telah merencatkan fokus pasukannya.
“Kami kehilangan kekuatan di bahagian serangan selepas Jairo keluar. Selain itu, pasukan juga tidak mengawal beberapa momen penting dan kami perlu lebih matang, terutama untuk tidak bolos sebelum separuh masa.
“Kemudian, pada penghujung saingan baru kita cuba untuk menyerang tetapi penjaga gol lawan berjaya menyelamatkan beberapa peluang keemasan kita (untuk mengikat kedudukan),” katanya.














