TONGGAK sensasi Al-Ahli, Riyad Mahrez sedia untuk menyingkirkan wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam misi melakar sejarah mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) pada musim ini.
Ah-Ahli yang dikendalikan oleh Matthias Jaissle bakal menentang skuad Harimau Selatan dalam aksi suku akhir yang dijadualkan berlangsung di Stadium King Abdullah, Jeddah pada Jumaat ini.
Juara bertahan itu terpaksa bermandi peluh untuk mara ke kelompok lapan kelab terbaik benua Asia selepas menewaskan wakil Qatar, Al-Duhail 1-0 hasil jaringan tunggal Mahrez pada penghujung masa tambahan.
Menurut Mahrez, semua perlawanan dalam saingan ACLE tidak boleh diambil mudah kerana mana-mana pasukan berupaya untuk melakar kejutan.
“Kita tahu betapa sukarnya kejohanan ini dan fokus utama kami adalah untuk mempertahankan kejuaraan ACLE buat kali kedua berturut-turut.
“Sorakan padu peminat sangat penting dan saya harap pasukan dapat membalas sokongan mereka dengan meraih keputusan positif,” kata bekas pemain Manchester City itu.
Sebagai rekod, tiada pasukan yang berjaya bergelar ‘raja’ kelab Asia dua kali berturut-turut dalam tempoh 20 tahun selepas kali terakhir pasukan yang berjaya mempertahankan trofi elit itu adalah Al-Ittihad pada musim 2004 dan 2005.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi pusingan 16 terbaik, pasukan pilihan, Al-Hilal tewas mengejut menerusi sepakan penalti 3-4 kepada Al-Sadd apabila terikat 3-3 selepas berakhir 120 minit perlawanan.














